Friday, July 31, 2009

Pesanan Dari PPIM.

Dah agak lama menerima e-mail ini, terlupa nak masukkan dalam blog....tolong-tolonglah sebarkan! - Ummuafiq


AWAS!!!

Tanpa disedari kita & anak-anak terdedah kepada bahaya fluorida setiap hari.

Apa itu fluorida? Layari www.muslimconsumer.org.my/fluorida

Fluorida merupakan silent killer yang terdapat pada lebih 80% ubat gigi dipasaran, fluorida boleh mengancam organ & menyebabkan pelbagai penyakit. Elakkan penggunaan produk berfluorida terutamanya dikalangan kanak-kanak.

Fluorida boleh menyebabkan perkara-perkara berikut:
- Kematian
- Kanser
- Ruam Kulit
- Luka Kanser
- Kelunturan Warna Gigi
- Masalah Gastrik
- Penyebab atau Membantu Menyebabkan Kerapuhan Tulang
- Keracunan Saraf
- Kanser Tulang
- Keretakan Tulang
- Membantu Menyebabkan Kekurangan IQ di Kalangan Kanak-kanak
- Meransang Masalah Buah Pinggang di Kalangan Pesakit

AWAS !!!
BAHAYA FLUORIDA

Satu tinjauan yang dijalankan pada tahun 1997 dengan bantuan pengeluar ubat gigi dan Persatuan Pergigian Amerika Syarikat mendapati purata orang yang memberus gigi dengan ubat gigi berfluorida walaupun sedikit (1 gram) mengikut sukatan yang disarankan, menelan antara 0.3-0.4 mg fluorida setiap kali memberus gigi.
Ini bermakna anda menerima hampir separuh daripada kadar harian fluorida yang diterima cuma dengan memberus sekali sehari, tanpa membabitkan sumber lain.

Pernahkah anda melihat amaran ini pada belakang kotak ubat gigi anda?




“AMARAN: JAUHKAN DARI KANAK-KANAK BERUMUR 6 TAHUN KEBAWAH, SEKIRANYA TERTELAN MELEBIHI DOS YANG DITETAPKAN, SILA DAPATKAN RAWATAN PAKAR ATAU HUBUNGI PUSAT KAWALAN RACUN DENGAN SEGERA”

Perlukah amaran seperti diatas sekiranya produk tersebut benar-benar selamat? Mungkin jika digunakan sekali atau dua kali tidak mendatangkan apa–apa kesan, tetapi jika digunakan setiap hari dan sehingga 3 kali sehari ia mampu memberi pelbagai kesan buruk antaranya: KANSER & DENTAL FLUOROSIS!

Antara Contoh masalah Dental Fluorosis:


Ingat! Adalah tanggungjawab kita untuk menyebarkan Emel ini kepada ahli keluarga dan para sahabat.


© 2009 Persatuan Pengguna Islam Malaysia ( PPIM )

Friday, July 24, 2009

Angah Pencinta Haiwan


Dari luar pagar, saya terpandangkan Angah sedang terbongkok-bongkok di depan deretan kasut di muka pintu. Bercangkung di sebelahnya ialah si abang cik (Ammar). Pelik! Selalunya dua orang ni tak boleh duduk dekat, mesti perang... Apalah yang di buat mereka hingga ralit begitu?
Saya mendekati mereka dari belakang perlahan-lahan. Emm.... Angah, Angah.... Rupa-rupanya Angah sedang memberi makan semut 'peliharaan'nya. Pelik bunyinya kan? Tapi itulah Angah... Kalau boleh semua binatang dalam dunia ni nak di belanya.

Angah memang sukakan binatang sejak dari kecil lagi. Dokumentari tentang binatang adalah program pilihannya dari cerita-cerita lain. Kalau pilih buku pun, tentu pasal binatang.

Angah sebenarnya dah lama mengimpikan untuk memelihara seekor kucing berbulu oren.... nak buat kawan katanya. Memang Angah tak ramai kawan kerana dia tak suka main di luar. Berpanas-panas di luar tu bukan caranya...

Memikirkan hal itu, saya memujuk Sifu agar membenarkan Angah memelihara kura-kura. Lebih selamat, tak berbulu sebab Angah mengalami alahan kulit. Kucing sudah pasti tidak sesuai, fikir saya. Kemudiannya baru saya dapat tahu bahawa kura-kura tidak sesuai dipelihara oleh kanak-kanak bawah 10 tahun. Kena hati-hati dengan kukunya.



Sekarang kura-kura dah tak ada lagi. Dua bulan lepas dah di bebaskan ke dalam tasik berdekatan rumah. Saiznya sudah tidak sesuai dengan rumahnya, dah besarlah tu...

Angah menaruh harapan agar dia dapat bertemu semula dengan kura-kuranya Upin dan Ipin satu hari nanti. Angah sepi lagi. Dia kembali teringatkan LINI, kucing impiannya.

Sabarlah Angah, mungkin bila Angah dah sekolah menengah nanti bolehlah bela kucing.....

Saturday, July 18, 2009

Aku ini cuma makhluk Mu....


Kadang-kadang bila terlalu bekerja keras, terlalu membina harapan, terlalu membina impian, ada masanya kita akan terlalu mengharapkan kesempurnaan.

Kesempurnaan pada hasil usaha kita, sempurna pada harapan yang dibina menggunakan akal manusia... Kita bagai mengharap syurga ada di depan mata.

Tapi kita sebenarnya telah sungguh terlupa bahawa kesempurnaan itu hanya milikNya...

Setelah berusaha, kita telah lupa tentang tawakal.

Sebab itulah hati rasa resah, fikiran kusut, jiwa tidak tenang.....

Sebagai hamba, kemampuan dan keupayaan kita amat terhad. Kekuatan akal dan fizikal tak seberapa...Sepatutnya kita sedar segala yang bergerak di muka bumi ini adalah dalam percaturanNya.

Gugurnya sehelai daun kering, mengalirnya air di sungai, berkerdip bintang di langit, semua adalah dalam pengetahuanNya...

Bagaimana mungkin Ia tidak nampak akan usaha kita, harapan dan impian kita....

Cuma kita yang selalu lupa dan leka untuk meminta dan terus meminta dariNya....

Bersyukur dan sabar dengan dugaanNya....

Kadang-kadang kegagalan itu mungkin tanda kasih sayangNya...

Agar kita tidak lupa, kita ini hanyalah seorang hamba....

Thursday, July 9, 2009

Bubur kacang, kuah durian.


Durian, durian, durian. Mana-mana pergi pun nampak durian. Tapi menurut Mak Wan, kat Teluk Intan tak ada pulak orang jual durian. Emmm.... belum musim la tu, agaknya. Durian ni memanglah sedap walau pun orang barat mengkelaskannya sebagai makanan eksotik...he...he... ( sebab baunya kot..! ).

Cakap pasal durian ni, ada 'part' nikmat dan ada 'part' mujahadahnya. Mana tidaknya, nikmat masa makan.....sedapnya. Mujahadah pulak sebab tak boleh makan lebih-lebih. Nanti boleh mendatangkan mudarat terutamanya pada orang-orang macam saya. Boleh kembung, mabuk dan paling teruk boleh demam...

Memandangkan saya dan sifu dah menangguhkan hampir dua tahun untuk menikmati durian di rumah, (takut saya terlebih makan) maka minggu lepas hajat kami tercapai.

Sifu mendapat durian dari Pak Ngah (kenalannya), katanya antara yang terbaik dari kebun durian Pak Ngah.

Apalagi....mula-mula makan mentah-mentah. Lepas tu buat kuah pulak. Kuah durian ni bukan semua tempat yang tahu mengenainya. Semasa saya di Trengganu dulu, kuah durian ni langsung tak jumpa. Agaknya ini makanan orang pantai barat, orang Perak..... negeri saya la tu..!

Tapi anak-anak saya semuanya membesar dan lahir di pantai timur..... Kuah durian tak disentuh langsung. Dapatlah juga saya berikan separuh pada jiran, K.Hawa (suami dia orang Perak). Kuah durian ni saya makan dengan roti saja. Tapi ada juga orang makan dengan roti jala, ikutla selera masing-masing. Nak buat dia ? Senang je...

Bahan-bahannya ;
  1. buah durian - yang telah diasingkan dari bijinya atau boleh juga masukkan bijinya (saya masukkan 2 biji durian )
  2. santan - ikut citarasa nak selemak mana nanti kuahnya (saya gunakan 2 kotak santan, dapat seperiuk besar)
  3. gula - ikut manis yang kita suka
  4. sedikit garam- penting ni untuk 'balance'kan rasa dia.
  5. dua helai daun pandan
  6. 2 cawan air - tambah lagi kalau terlalu pekat

Caranya ; masukkan semua bahan-bahan dalam periuk, lepas tu masakla dengan api perlahan. Bila dah mendidih, dah masak la tu..


Lepas kuah durian dah habis, hajat sifu pulak perlu ditunaikan..... Tiadalah yang lebih istimewa pada sifu kalau bukan bubur kacang durian.

Yang ni rasanya semua orang biasa makan....dan dah tentu tahu membuatnya.... Kali ni saya berikan pula pada jiran saya Nora. Seronok tukar-tukar juadah ni, tak perlu tunggu bulan puasa...

Jemput-jemputla.... tengok gambar he...he... Bismillah ye...!

Cara kita....


Syukurlah, beliau dipanggil bertemuNya setelah memeluk Islam.


Sedekahkanlah al-fatihah untuk saudara baru ini..


Al-fatihah untuk saudara Mikail...

Sunday, June 28, 2009

Aktiviti hujung minggu.


Satu-satunya aktiviti yang boleh menandingi keasyikan bermain PS2 adalah mandi laut. Anak-anak saya tak pernah menolak kalau diajak menghabiskan waktu petang di pantai.
Pantai Tanjung Selangor adalah destinasi kami setiap kali ada kelapangan di hujung minggu. Lebih kurang 15 minit perjalanan dengan kereta, itu adalah pantai terdekat dengan rumah saya.
Menikmati alam semula jadi memang mendamaikan.. Anak-anak akan bermain air sambil berkejaran di pantai. Mereka akan ketawa riang, kadang-kadang menjerit keriangan seperti membebaskan semua tenaga dan tekanan yang terpendam dalam diri mereka.


Saya pula lebih suka memerhatikan gelagat mereka sambil memantau keadaan agar sentiasa terkawal. Cuma risaukan anak-anak terutamanya Along, kalau dah jumpa air 'excited'nya lain macam..


Sambil-sambil jadi pengawal pantai tu seronoknya kalau dapat main layang-layang. Terutama kalau layang-layang yang ekornya panjang ( saya cuba dapatkan juga satu hari nanti, insyaallah..). Bila dinaikkan barulah nampak cantiknya, beralun-alun ditiup angin pantai.

Masalah utama ketika mandi pantai ni ialah apabila tiba masa untuk pulang ke rumah. Emmm.... berkali-kali diajak naik , mereka boleh buat tak tau je.. Tak pun minta tangguh, 10 minit, 5 minit, macam-macam alasan yang keluar.



Sementara menunggu mereka merima hakikat yang mereka terpaksa naik ke darat juga, saya tak melepaskan peluang mengambil gambar matahari petang. Kalau kena gayanya, gambar yang siap nanti akan menjadi gambar seperti matahari sedang terbenam...... cantik!


Bila kereta dah bergerak menuju ke rumah, seronok tengok anak-anak semuanya tenang dan 'relax' je. Tak lah macam kat rumah sebelum datang tadi. Mungkin, itulah hasil dari terapi alam semula jadi, ayat-ayat Allah!

Baru separuh perjalanan mereka dah tertidur di tempat duduk masing-masing. Malam tu aksi -aksi di pantai akan menjadi tajuk perbualan mereka sambil berangan-angan untuk pergi lagi minggu hadapannya.

Emmmm.......insyaallah...!


Thursday, June 25, 2009

Pokok Daun Sup kebanggaanku!


Bukan lah bangga sebab apa... he...he.... Sebabnya, dah hampir sepuluh kali saya cuba menanam pokok daun sup tapi semuanya tak kesampaian. Inilah kali pertama ia dapat bertahan dan kelihatan agak subur.

Sekarang , kalau buat sup ke, bihun goreng ke, boleh ambil je kat depan rumah.

Rasanya elok kalau saya kongsikan di sini sedikit info mengenai daun sup ini yang saya kutip dari Wikipedia.
Daun sup atau pun nama lainnya daun saderi atau daun seleri (yang Wonder pets suka makan tu) kaya dengan zat besi, fosforus, natrium, kalium, vitamin A, B kompleks, C dan magnesium. Nama saintifiknya ialah Apium graveolens.


Daun sup ni selalunya digunakan sebagai penawar kepada tekanan darah tinggi. Caranya ialah dengan memotong daun ni kecil-kecil, dicampurkan dengan air dan sedikit gula. Untuk lebih bekesan minum air tu tiga kali sehari. Begitulah lebih kurang kata artikel dalam wikipedia tu. Boleh lah kalau sesiapa nak cuba!


Dari pengalaman yang lepas-lepas, pokok ni sebenarnya tak boleh disiram terlalu kerap, tapi tanahnya hendaklah sentiasa lembap saja. Maknanya kalau nak bagi dia air, renjis-renjis pun dah cukup. Nanti akar dan batangnya reput. Satu lagi, selain dari kita (manusia-manusia ni ) sukakan baunya, ada satu lagi makhluk (selain dari Wonder Pets) yang sangat sukakan pokok ni iaitu sang siput khinzir. Pernah sekali tu, tinggal tunggul je pokok daun sup saya dibaham dek sang siput ni. Emm... nak buat macamana lagi, niat sedekah je lah..

Macamana nak halau sang siput? Memang ada ubat untuk menghalang siput dari mendekati pokok dijual di kedai-kedai bunga. Ada juga petua supaya ditaburkan garam disekeliling pokok ataupun pasu untuk menghalang siput. Gunalah mana-mana yang sesuai dengan keadaan rumah kita.

Pokok ni juga sukakan matahari, jadi janganlah letakkan dia di tempat yang terlalu teduh.
Kalau ada yang baru nak mencuba menanam pokok daun sup, saya ucapkan selamat berjaya!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...