Tuesday, April 19, 2011

BISKUT OAT SUJI.

"Bila nak buat biskut 'feberet' Ammar?"
"Bila nak buat biskut 'feberet Ammar?" Dah hampir sebulan, itulah ayat yang di'zikir'kannya setiap hari. Jadi , bila saja ada sedikit kelapangan masa, saya tunaikan hajat Abang Cik sorang ni.... Biskut 'feberet' yang dimaksudkan tu tak lain dan tak bukan ialah biskut oat suji.

Resepi yang saya gunakan ini asalnya milik chef seleberiti kita Chef Wan. Tapi setelah sedikit ubahsuai mengikut tekak para hakim jadilah seperti di bawah. Maaf ye Chef Wan, bukan nak menderhaka cuma mengembangkan lagi kreativiti....he...he.... Kalau mengikut Chef Wan, biskut ini lebih lembut, lebih manis dan dilonggokkan saja kecil-kecil atas tray pembakar. Jadi dengan pandainya saya pun mengubahnya menjadi kurang manis, lebih pejal dan diletak dalam 'paper cup' supaya lebih comel dan senang disimpan.


Kebetulan semasa 'shopping' di kampung dulu saya terjumpa 'paper cup' yang menawan hati dan membelinya untuk simpanan. Sekaranglah masa untuk menggunakannya!

Bahan - bahan ;

250 gm oat  (dikisar halus)
250 gm minyak sapi ( pastikan yang halal)
120 gm tepung gandum
180 gm gula kasar (dikisar. Kalau nak kurangkan lagi pun boleh)
1 sudu teh esen vanilla
2 peket paper cup bersaiz kecil
gula manik secukupnya untuk hiasan

Cara;

Gaulkan minyak sapi, tepung,gula dan esen vanilla hingga sekata.
Kemudian, masukkan oat dan gaul lagi hingga sebati dan sekata. Dah siap! Senangkan.
Sekarang bentukkan bulat - bulat , lebih kurang 2/3 saiz paper cup. Masukkan dalam paper cup, susun atas tray pembakar dan akhir sekali tabur gula manik atasnya ( 'part' ni Abang Cik memang suka tolong).
Bila dah tersusun dalam tray... eemm comelnyer....Terhiburnya rasa hati, tak terasa penat membuatnya.

Setelah oven dipanaskan lebih kurang 2o minit, bakar dengan suhu 130 darjah celsius atau mengikut ragam oven masing- masing. Yang penting bahagian bawah biskut mestilah nampak sedikit perang.
Setelah disejukkan, bolehlah dihidangkan. Simpanlah kalau sempat he...he....

Saturday, April 9, 2011

IBU HADIF GIVEAWAY 3/2011


IBU HADIF GIVEAWAY 3/2011  DITAJA OLEH KEDAI HUFFAZ.

Dulu cuba 'join' Gegar 1000 blog Ben Ashaari. Hari ni nak cuba 'join' aktiviti yang lebih kurang sama tapi yang ni siap ada hadiah cabutan bertuah pulak tu..... Menarik ni!
Terbaca pasal  ni kat blog Normi. Emmm..... rupa-rupanya hadiah -
hadiah ditaja oleh Kedai Huffaz. Tahniah Normi! Dah jadi tauke besar nampak.....he..he...
Aktiviti ni dianjurkan oleh Ibu Hadif. Pertama kali menjengah blog Ibu Hadif ni..... tq Normi.

Tuesday, April 5, 2011

MENAKUTKAN! 'BPA ubah lelaki jadi wanita.'




AIR walaupun sangat penting kepada tubuh manusia boleh bertukar racun memberi mudarat dengan bermacam cara.
Sebagai contoh, air bersih yang diminum menggunakan bekas plastik yang mengandungi bahan kimia Bisphenol A (BPA) dan Nonyphenol mampu menjejaskan kesihatan bahkan mengganggu sistem hormon.
Profesor Madya Mohamad Pauzi Zakaria dari Jabatan Sains Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, salah satu daripada topik global yang sedang dibincangkan para saintis adalah bahan yang terkandung dalam bekas minuman plastik.
“Terdapat dua jenis bahan di dalamnya iaitu BPA dan Nonylphenol.
“Dua bahan itu digunakan untuk membuat bekas minuman seperti botol susu bayi kerana ia membuatkan plastik menjadi kuat dan tidak rapuh.
“Namun, ia memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia bahkan mampu menukarkan hormon di dalam badan manusia,” katanya.
BPA
Dakwanya, BPA dan Nonylphenol dikatakan lebih berbahaya terhadap lelaki kerana ia boleh menukar ciri lelaki kepada ciri wanita.
“Struktur molekul BPA dan Nonylphenol hampir menyerupai hormon yang terdapat dalam tubuh manusia.
“Jika manusia minum air menggunakan bekas plastik yang mengandungi BPA dan Nonylphenol, dua bahan ini akan menghapuskan hormon manusia sedia ada,” ujarnya.
Sebagai contoh, Pauzi berkata, jika seorang ibu minum bahan BPA dan Nonylphenol dan kemudian menyusukan anak lelakinya, bahan tersebut akan berpindah ke dalam tubuh anak lelakinya.
Secara tidak langsung, anak lelaki tersebut akan bertukar kepada ciri kewanitaan apabila dewasa kelak.
Menurut Pauzi, kajian di Tasik Apopka, Florida, Amerika Syarikat mendapati seekor buaya jantan yang terdedah kepada kedua-dua bahan itu akibat pembuang plastik di tasik tersebut telah bertukar secara perlahan menjadi buaya betina.
“Kajian pada tahun 1999 di Scandinavia pula menunjukkan ramai belia lelaki yang berumur 18 tahun secara perlahan memiliki sifat kewanitaan.
“Ini disebabkan kekerapan mereka terdedah kepada dua bahan tersebut.
“Lelaki yang sihat biasanya memiliki sebanyak 60 juta sperma untuk setiap mililiter.
“Malangnya, belia lelaki yang terdedah kepada dua bahan ini hanya memiliki sebanyak 20 juta sperma setiap mililiter,” katanya.
Selain isu pencemaran bekas minuman, sumber air yang diminum juga berupaya mendedahkan manusia kepada risiko penyakit kanser.

AIR paip yang sudah dirawat selamat diminum begitu sahaja.


“Air yang tidak dirawat mengandungi pelbagai bahan berbahaya seperti nitrat, arsenik, mikroorganisma dan bahan kimia daripada racun perosak.
“Setelah air di empangan memasuki pusat pemprosesan air, kebanyakan bahan itu berjaya dihapuskan.
“Klorin yang digunakan turut membantu menghapuskan bakteria.
“Begitupun, jika air yang telah diklorin itu bertembung dengan sisa organik seperti air kencing, ia akan bertindak balas dengan klorin dan menghasilkan Trihalomethanes (THM) iaitu bahan karsinogenik yang boleh menyebabkan kanser,” kata Pauzi.
Klorin
Jelas Pauzi yang berpengalaman selama 30 tahun dalam bidang Sains Alam Sekitar, kandungan klorin yang terdapat pada sumber air minuman bagaimanapun tidak terlalu banyak.
Sebaliknya, kata beliau, tempat paling berisiko adalah di kolam renang kerana kandungan klorinnya tinggi.
Mengulas lanjut, Pauzi memberitahu, THM wujud di dalam kolam renang jika terdapat ramai individu yang mandi di situ.
Jika salah seorang daripada mereka membuang air kecil atau najis yang merupakan sisa organik, ia akan bertindak balas dengan klorin lantas menghasilkan THM.
“Walaupun kandungan THM itu rendah, jika tersentuh atau diminum, kita boleh mendapat kanser dalam jangka masa panjang,” katanya kepada Jurnal.
Disebabkan itu, kata Pauzi, Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (USEPA) telah mengharamkan rawatan air minuman menggunakan klorin.
Katanya, ada dua cara rawatan air tanpa klorin iaitu dengan menggunakan teknologi osmosis balikan (RO) dan ultra violet.
Ironinya, menurut Pauzi, kebanyakan negara masih mengekalkan rawatan klorin kerana ia murah.
Bercerita lebih lanjut, menurut Pauzi yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Saintis Muslim Malaysia, terdapat banyak punca pencemaran air yang boleh menjejaskan kesihatan manusia.

Petikan Dari KOSMO 6 Aprill 2011


Ummuafiq - patutlah makin ramai anak lelaki yang jadi 'lemah lembut'.

Wednesday, March 23, 2011

INTI AKHLAK.




Inti akhlak yang dikemukakan dalam kitab - kitab tasawuf berdasarkan sunnah terdiri atas tujuh sendi :


1. Mencintai dan mendekati fakir miskin.


2. Memandang (membandingkan) orang yang kurang daripada kita dalam urusan dunia. Memandang orang yang lebih tinggi daripada kita dalam urusan ibadah.


3. Menghubung tali silaturrahim walaupun diri tidak dipedulikan.


4. Tidak meminta sesuatu daripada seseorang (meminta - minta).


5. Tidak takut dalam berjuang ke jalan ALLAH.


6. Menunaikan hajat seorang saudara muslim yang lain.


7. Memperbanyakkan mengucap 'La hau wala quwwata illa billah'. Semoga kita tergolong dalam golongan yang sentiasa berusaha mencari keredhaan ALLAH SWT.




Petikan dari Fb Ustaz Zahazan Mohamed.

Wednesday, March 9, 2011

MAHER ZAIN VS JUSTIN BEIBER



DARI BILIK KOMPUTER.

"Baby, baby , baby oh.........
 Baby, baby, baby oh..........".

 Itu mesti Along.......Keluh saya dalam hati.
 Senyap..... Tiba - tiba....

"mind, mind, mind, mind, mind....
 please don't waste my
 time, time, time, time, time...."

Oh... dah tukar lagu.... Begitulah along setiap kali berpeluang menggunakan komputer, tentu lagu tu juga yang diulangnya walaupun dah di larang berulang kali.

"Along, kan ibu dah bagi tau lagu Justin beiber(JB) yang mana yang along boleh pasang di rumah....."
Along memuncungkan mukanya, protes la tu....
"Lagu - lagu cinta tu tak payahlah pasang."
"Ala.... Along suka rentak dia jer..... bukan apa yang dia cakap...." Along membela diri.
"Ye la. Mula - mula suka rentak dia, lepas tu teringin nak ikut rambut dia, baju dia......." Saya cuba       memintas hujah Along.
"Tapi lagu ni best ibu, kat sekolah semua orang nyanyi lagu dia...."
Em.... itulah masalahnya, bila sekolah juga jadi sumber pengaruh yang tak elok.

PENGARUH ANAK SULUNG.

Tiba - tiba Ammar di sebelah saya bersuara, " you smile, I smile.....".
"Lagu tu best juga, kan Ammar....", pintas Along.
 Ammar mengangguk setuju.
 Begitulah selalunya, kalau Along dah mula menyanyi satu lagu. Habis semua adik-adiknya pun ikut sama.
"Eh!, bila masa pulak  Ammar ni dengar lagu orang putih ?"
"Siapa ajar Ammar nyanyi lagu tu?, saya cuba menduga Ammar.
"Ala... tadi Justin Beiber tu ajar Ammar kat sekolah...."jawab Ammar selamba. Sabar je la mendengar jawapannya.

 Tercabar juga saya melihat perkembangan terbaru ini. Sekarang ni pun, sekali sekala Along dah mula nak buat rambut stail si JB ni. Melepek kat bahagian depan. Alhamdulillah, cuma sekali - sekala. Jangan adik -adik dia pulak ikut sudah lah. Kalau dulu, orang yang kurang rambut je buat macam tu.
Bila difikirkan semua ni, em... tak boleh jadi. Kena buat sesuatu. Sasaran utama telah dikenal pasti!

MAHER.

Konsert Maher Zain (MZ) dah berlalu minggu lepas tapi Along dan adik -adiknya tak tahu menahu. Sebenarnya mereka tak tahu pun apa itu konsert dan apa yang berlaku ketika adanya konsert. Alhamdulillah.
Dengar cerita Justein Beiber akan masuk Malaysia bulan depan. Harap - harap yang ini pun Along tak tahu menahu. Kalau tidak makin meriah lah dia bercerita pasal Justin Beiber pada adik - adiknya.
Saya je asyik bagi info pasal Maher Zain pada Along agar minat dia pada lagu - lagu Maher Zain tidak luput dek Justin Beiber.
 Along ni bukannya tak suka lagu - lagu Maher Zain tapi bila dia menyanyi lagu JB ni 'excited' dia semacam je....
 Saya cuba tukar strategi. Sebelum ni saya cuma pasang lagu - lagu MZ kat rumah, dalam kereta. Sekarang, saya 'download' videoklip lagu - lagu MZ untuk tatapan Along dan adik adiknya di 'TV besar' ayah. Mana - mana videoklip yang ada lirik tu saya ajak Along nyanyi bersama. (Ala - ala karaoke la konon...). Dan seperti biasa, adik -adiknya akan ikut sama. Riuh - rendahlah rumah jadinya.
Alhamdulillah, memang mereka suka....Ihsan sampai nak tidur pun, nak tengok videoklip 'The Chosen One' dulu... baru lelap.

KEPUTUSAN PERTANDINGAN.

Buat masa ini keputusannya, MAHER ZAIN - 2, JUSTIN BEIBER -1


Monday, February 21, 2011

SELAMAT JALAN ROS MERAH JAMBU!



Sejak dua menjak ni, rasa macam perlu menukar gambar profilku yang cantik ni. Walaupun dah hampir 2 tahun ia mewakili diriku ini.Ceh... sedihlah konon.
Sebenarnya bila usia telah menginjak ke usia 'remaja' ni, rasanya ros merah jambu tu terlalu 'muda' untukku.
Sementelahan lagi dengan kempen-kempen berterusan yang dibuat oleh rakan-rakan blog yang bergelar ustazah ni, supaya kita berhati-hati meletakkan gambar-gambar ke dalam dunia maya ni.....panjangnya ayat...!
Dan juga supaya gambar profil ku itu nanti nampak lebih matang walaupun gambarnya comel jer....He...he..

Maka dengan hati yang penuh keinsafan......ku gunakan dulu gambar muslimah comel berjubah kuning tu.
Sementara nak dapatkan khidmat profesional melukiskan avatar khusus untukku......alonglah...siapa lagi yang ada! (Ammar pun boleh juga ek...)

Diakhir tinta kuucapkan Selamat Tinggal Ros Merah Jambu!

Sunday, February 13, 2011

MENYAMBUT KELAHIRAN KEKASIH ALLAH.



Send a Dozen Roses at WiddlyTinks.com


Kata Imam Al- Sya'rani; "Suatu ketika, seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw yang sedang duduk di dalam masjid. Beliau berkata; " Salam sejahtera ke atas kamu wahai ahli kemuliaan yang tinggi dan pemurah yang disanjungi." Lalu Rasulullah saw memberi tempat duduk kepada beliau di antara Baginda dan Abu Bakar ra. Orang ramai yang hadir berasa hairan dengan tindakan Rasulullah saw mendahulukan lelaki tersebut. Kemudian Rasulullah saw memaklumkan yang bermaksud; " Jibril telah memberitahu kepadaku bahawa beliau telah berselawat kepadaku dengan lafaz selawat yang belum pernah diungkapkan oleh sesiapapun sebelum beliau." Lalu Abu Bakar bertanya; "Bagaimanakah lafaz selawat beliau?" Rasulullah saw pun menyebut selawat di atas.


Petikan dari buku TARBIAH ANAK-ANAK DENGAN ZIKIR DAN DOA.
Susunan oleh Ust. Zahazan Mohamed dan Rohidzir Rais.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...