Showing posts with label Info semasa. Show all posts
Showing posts with label Info semasa. Show all posts

Thursday, July 26, 2012

10 PERANAN IBUBAPA MENJELANG PEPERIKSAAN.


Tak lama lagi Angah nak menduduki UPSR, ibu
doakan Angah berjaya.






10 PERANAN IBU BAPA MENJELANG PEPERIKSAAN
Oleh:  Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad, Ph.D
Perunding Motivasi MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd.
drasmadi@maptraining.com.my


Musim peperiksaan menjelang lagi.  Disaat begini ibu bapa biasanya lebih bimbang berbanding anak-anak.  Diantara ibu dan bapa pula, ibulah yang lebih gemuruh berbanding bapa.  Sebagai seorang bapa, saya memahami perasaan dan tekanan yang dihadapi oleh ibu bapa.  Malah saya baru sahaja mampu bernafas lega apabila anak yang sulung kini selesai peperiksaan UPSRnya.  Memang pengalaman mendidik anak orang dengan mendidik anak sendiri cukup berbeza.

Jangan pula kerana tekanan yang kita rasakan dan harapan yang kita letakkan terhadap seorang anak, membuatkan kita kelam kabut hingga lupa apa yang patut dilakukan disaat menjelangnya peperiksaan.
Salah pendekatan kita maka anak yang akan menerima akibatnya kelak hingga tanpa disedari menjejaskan prestasi peperiksaannya. 

Saya teringat bagaimana tahun lepas seorang pelajar motivasi saya telah menelefon dan menangis sedangkan PMR hanya tinggal 10 hari sahaja lagi.  Setelah ditenangkan, maka dia beritahu saya bagaimana tertekannya dia apabila ibu bapa terus mengherdik, menekan dan memarahinya kerana dia hanya memperolehi 3A sahaja dalam peperiksaan percubaannya.  Dia rasa dia telah gagal sebagai seorang anak dan tidak yakin untuk berhadapan dengan PMR yang sebenar.  Nasib baiklah dia sempat mengadu dan meminta bantuan.  Bagaimana pula dengan ratusan ribu pelajar lain yang tidak mempunyai tempat untuk mengadu?  Sebab itulah kita sebagai ibu bapa mesti tahu apa persediaan yang perlu dibuat untuk kecemerlangan anak-anak menjelangnya peperiksaan. 

1.  Fahami Tekanan Yang Dihadapi Oleh Anak
Bukan sahaja ibu bapa yang bimbang, anak-anak juga sebenarnya bimbang.  Mungkin ada diantara mereka tidak begitu menunjukkan kebimbangan tetapi ia dapat dilihat dari segi perubahan sikap dan tingkah laku mereka.  Ada anak-anak yang rungsing lalu tidak berselera makan tetapi ada pula yang menjadi terlalu kuat makan.  Ada yang tidak boleh tidur tetapi ada pula yang semakin kuat tidurnya.  Ada yang murung, marah-marah, sensitif dan sebagainya.  Sememangnya perasaan bimbang boleh menyebabkan berlakunya perubahan sikap dan tingkah laku ini.  Sebagai ibu bapa, kita mesti peka terhadap perubahan ini dan cuba sedaya upaya mengurangkan tekanan tersebut dengan lebih memahami mereka.  Katakan kepada mereka dengan jelas bahawa apa yang kita harapkan dari mereka hanyalah melakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri mereka.  Jelaskan kepada mereka kecemerlangan akademik bukan hanya satu-satunya syarat untuk mereka hidup cemerlang di dunia Allah ini.

Apabila tinggal beberapa hari lagi untuk menghadapi peperiksaan, elakkan dari menyuruh mereka menjawab terlalu banyak soalan-soalan yang mereka tidak ketahui penyelesaiannya kerana ini akan membuatkan mereka rasa tidak bersedia.  Keyakinan diri mereka akan tergugat dan ini akan menjejaskan prestasi mereka dalam menjawab soalan-soalan yang mereka sedia ketahui. 

Adalah lebih baik ibu bapa diam tanpa memberikan sebarang komen apabila didapati perasaan anak terlalu tertekan hingga ada ketikanya dia memberontak lalu meluahkan perasaan dengan mengatakan yang dia pasti gagal.  Perhatikan sahaja gelagat anak sebab biasanya luahan perasaan itu bukanlah luahan yang sebenar.  Selepas itu, ajak anak melakukan aktiviti yang menyeronokkan tanpa perlu keluar dari rumah.  Misalnya, adakan masa untuk menonton cerita jenaka seketika.  Berhibur dan bergelak ketawalah sekeluarga.  Ini akan membuatkan perasaan tegang dalam diri anak mengendur dan dia kini bersedia untuk kembali belajar semula.  Ketika ini, tanamkan keyakinan dalam diri mereka semula.  Rancang bersama jadual ulangkaji mereka dan cuba mudah-mudahkan setiap langkah yang mahu diambil.

2.  Tingkatkan Keyakinan Diri Anak
Keyakinan diri yang tidak mantap sering menghantui jiwa anak-anak.  Ada diantara mereka yang memang telah membuat ulangkaji sejak awal lagi tetapi tetap rasa tidak yakin pada diri sendiri.  Sebagai ibu bapa kita perlu tahu bahawa keyakinan itu datangnya dari persediaan.  Semakin bersedia anak kita maka semakin yakinlah mereka.  Persediaan ini pula bukan sekadar membaca, menghafal dan menyediakan nota semata-mata.  Persediaan ini mestilah merangkumi aspek menerima (input) dan mengeluarkan (output) maklumat. 

Proses mendapat maklumat termasuklah membaca, membuat nota ringkas, menghafal, bertanya, dan mengetahui teknik menjawab soalan-soalan.  Proses mengeluarkan maklumat pula ialah menjawab soalan-soalan seperti membuat latihan, latih tubi dan simulasi dengan menggunakan segala pengetahuan yang telah diperolehi dalam proses mendapat maklumat itu tadi.  Galakkan anak menjawab sebanyak mungkin soalan agar mendapat  pengalaman.  Lebihkan proses latih tubi untuk mana-mana topik yang agak lemah atau bentuk soalan yang kurang dikuasai.  Seterusnya, perhebatkan simulasi iaitu menjawab soalan-soalan tahun lepas serta soalan-soalan ramalan mengikut masa yang telah ditetapkan.  Lakukan proses simulasi ini seolah-olah dia benar-benar berada dalam dewan peperiksaan yang sebenar.

3.  Dorong Anak Secara Positif
Ibu bapa hendaklah sering memberikan harapan kepada anak dengan melontarkan kata-kata yang positif.  Apakah kata-kata positif?  Kata-kata positif adalah kata-kata yang apabila diucapkan akan menghasilkan gambaran minda yang juga positif. 

Misalnya:
bukan "Jangan buang masa" .... tapi ucapkanlah "Manfaatkan masa",
bukan "Jangan berputus asa"... tapi ucapkanlah "Berusahalah dengan lebih gigih lagi" atau "Mak percaya adik pasti BOLEH!",
bukan "Jangan kelam kabut".. tapi ucapkanlah "Banyakkanlah bertenang",
bukan "Elakkan kecuaian".. tapi ucapkanlah "Tingkatkan ketelitian dan lebih berhati-hati",

Malah banyak lagi contoh-contoh yang boleh diberikan.

4.  Kerjasama Sepenuhnya 
Apabila seorang anak bakal menduduki peperiksaan penting maka keseluruhan ahli keluarga yang ada dalam rumah hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya.  Antaranya, hormati waktu ulangkaji anak itu dengan setiap ahli keluarga menjadikan waktu itu sebagai waktu belajar.  Misalnya ibu bapa boleh manfaatkan waktu itu untuk membaca bahan-bahan yang berfaedah.  Adik kecil pula diberikan kertas dan pensil untuk menconteng.  Datuk dan nenek, kalau tinggal dirumah yang sama, gunakanlah waktu itu untuk membaca al-quran.  Begitulah juga dengan yang lain-lain.  Pastikan tidak seorang pun daripada ahli keluarga yang menonton TV, mendengar radio, sembang-sembang kosong, bermain-main dan sebagainya sedangkan ada anak yang sedang bertungkus lumus menghadapi pelajarannya.  Dengan cara ini anak akan dapat rasakan bahawa perjuangannya dihargai.

5.  Kurangkan Aktiviti Luar
Elakkanlah dari terlalu banyak membuang masa dengan aktiviti diluar seperti keluar membeli belah, makan di luar, balik kampung, menziarahi saudara mara dan sebagainya.  Ingatlah setiap minit itu amat berharga untuk anak oleh itu pastikanlah setiap aktiviti yang dirancang menyumbang kepada persediaannya untuk menghadapi peperiksaan sama ada persediaan mental, emosi, fizikal atau rohani anak-anak. Tambahan pula, kekerapan berada di luar rumah hanya mendedahkan mereka terhadap perkara yang tidak diingini sama ada dari segi kesihatan atau keselamatan.

6.  Elakkan Anak Dari Tidur Lewat
Ada yang suka belajar hingga lewat malam untuk menghabiskan ulangkaji mereka.  Jangan biarkan keadaan sebegini berlarutan.  Pastikan anak anda masuk tidur awal dan bangun awal.  Galakkan mereka membuat sedikit ulangkaji diwaktu awal pagi walaupun hanya untuk dua puluh atau tiga puluh minit.  Diwaktu ini fikiran mereka tenang, emosi belum terganggu dan suasana pula nyaman.  Banyak maklumat yang dibaca ketika ini akan diingat untuk tempoh masa yang lebih lama.

7.  Berikan Anak Pelepasan Tugas Harian
Berikanlah anak anda layanan yang istimewa kerana menjelangnya peperiksaan.  Berikan dia bebas dari melakukan tugas harian yang sememangnya menjadi rutin hariannya seperti mengemas bilik, menolong emak di dapur, membersih halaman rumah, mencuci pakaian dan sebagainya.  Agihkan sementara tugas-tugas ini kepada orang lain seperti kakak, abang, adik atau ibu bapa sendiri.   Dengan cara ini anak yang akan menduduki peperiksaan dapat merasakan bahawa seluruh ahli keluarga memang benar-benar mahu lihat dia cemerlang. Dia akan rasa bersalah kiranya waktu yang diperuntukkan untuk belajar tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya sedangkan semua orang telah memberikan kerjasama.  Dia juga akan sentiasa mengharapkan suasana peperiksaan sebegini datang lagi kerana seronok mendapat pelepasan tugas.  Anak-anak yang lain tidak ada sebab untuk cemburu sebab apabila tiba masa mereka maka mereka juga akan dilayan dengan cara yang serupa.

8.  Nyatakan Ganjaran Dengan Jelas
Jangan biarkan anak anda berteka teki terhadap ganjaran yang bakal dia terima sekiranya dia memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.    Nyatakan dengan jelas bentuk ganjaran yang mahu diberikan kepadanya.  Kalau ia berbentuk kebendaan maka nyatakan dengan jelas.  Tunjukkan gambar tentang apa yang mahu anda berikan padanya.  Kalau ia suatu percutian, beritahu destinasi yang akan dilawati.  Dapatkan juga risalah tentang destinasi tersebut dan tunjukkan padanya.   Ganjaran yang kabur atau samar-samar tidak akan merangsang jiwa.  Misalnya, elakkan dari berkata, "Kalau abang cemerlang dalam SPM maka emak akan bawa abang melancong", sebaliknya hendaklah kita berkata, "Kalau abang cemerlang dalam SPM emak pasti bawa abang ke Langkawi, insyaAllah".

Pastikan apa jua ganjaran yang mahu diberikan anda mampu menunaikannya.  Kalau tidak anak akan hilang kepercayaan terhadap kita sebagai ibu bapa dan lain kali janji kita tidak diambil kisah lagi.

Ganjari juga usahanya bukan sekadar hasil atau pencapaiannya.  kalau kita tahu anak telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan tetapi keputusan peperiksaan tidak seperti yang dimahukan maka berikanlah dia sesuatu sebagai menghargai penat lelahnya itu.

9.  Ambil Cuti
Inilah masanya untuk ibu bapa berikan dorongan yang tidak berbelah bahagi kepada anak yang bakal menduduki peperiksaan.  Ambillah cuti beberapa hari dan usahakan untuk hantar sendiri anak ke sekolah pada hari peperiksaan tersebut.  Sepanjang perjalanan terus berikan kata-kata perangsang dan nasihat kepadanya.  Ingatkan anak sekali lagi bahawa kita tidak pentingkan apa sekalipun hasil yang dia perolehi, yang penting dia telah pun memberikan usaha yang terbaik.  Apa sahaja keputusannya kita terima dan bersyukur.

10.  Banyakkan Berdoa dan Solat hajat
Tidak ada sesuatu yang lebih bermakna untuk seorang anak ketika menduduki peperiksaan selain daripada doa dan restu dari kedua ibu bapanya.  Oleh itu, inilah masanya untuk kita luangkan lebih banyak masa berdoa untuknya agar dipermudahkan urusan anak menjawab setiap soalan, diberikan ketenangan dan diterangkan hati.  Berdoalah dengan suara yang jelas agar didengar oleh anak dan biarlah dia aminkan doa kita itu.  Biar anak menyedari yang kita sering membuat solat hajat dan berdoa untuknya.  Dengan cara ini mereka akan lebih menghargainya. 

Semoga petua keibubapaan yang telah diberikan dapat membantu ibu bapa untuk menjadi lebih cemerlang.   Ingatlah, anak-anak bukan kita maka terimalah mereka seadanya.  Yang penting mereka lakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri mereka sendiri.

Sunday, September 18, 2011

PROGRAM BERSAMA ODESSEY AL AMIN.




Semoga berjaya sahabatku Sofiyah Satuyah Rasin dengan program pertamanya. Sesiapa yang berminat boleh ikut serta.

Monday, August 15, 2011

JAKIM SAHKAN MENTEGA HARAM!


KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam mengesahkan mentega jenama Pure Creamery Butter - Golden Churn yang dipasarkan di Malaysia adalah tidak halal.

Ketua Pengarahnya, Othman Mustapha (gambar kecil) berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati produk tersebut datang dari kilang yang sama dengan yang diedarkan di Sarawak walaupun pengimportnya berbeza dan untuk pasaran berlainan.
"Perkara ini disahkan sendiri oleh wakil syarikat Ballantyne Food dari New Zealand yang mengeluarkan produk itu.
"Sehubungan itu umat Islam seluruh negara diminta untuk tidak menggunakan produk tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Sehubungan itu, Othman meminta pemegang dan permohonan baharu Sijil Pengesahan Halal dari Jakim atau jabatan agama Islam negeri yang telah menggunakan produk tersebut agar menukarnya kepada bahan yang mempunyai sijil halal yang diiktiraf serta mengemukakan resit pembelian bahan ramuan baharu.l
Menurut beliau, mereka juga perlu melakukan proses samak dengan disaksikan jabatan agama Islam negeri serta mengemukakan bukti akuan samak.
Othman berkata, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada syarikat pengimport dan mereka bersetuju menarik balik produk terbabit dari pasaran.
Pada 19 Julai lalu, Jabatan Agama Islam Sarawak mengisytiharkan produk itu yang digunakan segelintir pengusaha kek lapis sebagai tidak halal kerana dikesan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi, menyebabkan industri makanan itu terjejas. - Bernama

Ummuafiq : Alhamdulillah belum pernah guna mentega ni...... kalau tidak bayangkan... kena samak satu dapur....adussss....

Tuesday, April 5, 2011

MENAKUTKAN! 'BPA ubah lelaki jadi wanita.'




AIR walaupun sangat penting kepada tubuh manusia boleh bertukar racun memberi mudarat dengan bermacam cara.
Sebagai contoh, air bersih yang diminum menggunakan bekas plastik yang mengandungi bahan kimia Bisphenol A (BPA) dan Nonyphenol mampu menjejaskan kesihatan bahkan mengganggu sistem hormon.
Profesor Madya Mohamad Pauzi Zakaria dari Jabatan Sains Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, salah satu daripada topik global yang sedang dibincangkan para saintis adalah bahan yang terkandung dalam bekas minuman plastik.
“Terdapat dua jenis bahan di dalamnya iaitu BPA dan Nonylphenol.
“Dua bahan itu digunakan untuk membuat bekas minuman seperti botol susu bayi kerana ia membuatkan plastik menjadi kuat dan tidak rapuh.
“Namun, ia memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia bahkan mampu menukarkan hormon di dalam badan manusia,” katanya.
BPA
Dakwanya, BPA dan Nonylphenol dikatakan lebih berbahaya terhadap lelaki kerana ia boleh menukar ciri lelaki kepada ciri wanita.
“Struktur molekul BPA dan Nonylphenol hampir menyerupai hormon yang terdapat dalam tubuh manusia.
“Jika manusia minum air menggunakan bekas plastik yang mengandungi BPA dan Nonylphenol, dua bahan ini akan menghapuskan hormon manusia sedia ada,” ujarnya.
Sebagai contoh, Pauzi berkata, jika seorang ibu minum bahan BPA dan Nonylphenol dan kemudian menyusukan anak lelakinya, bahan tersebut akan berpindah ke dalam tubuh anak lelakinya.
Secara tidak langsung, anak lelaki tersebut akan bertukar kepada ciri kewanitaan apabila dewasa kelak.
Menurut Pauzi, kajian di Tasik Apopka, Florida, Amerika Syarikat mendapati seekor buaya jantan yang terdedah kepada kedua-dua bahan itu akibat pembuang plastik di tasik tersebut telah bertukar secara perlahan menjadi buaya betina.
“Kajian pada tahun 1999 di Scandinavia pula menunjukkan ramai belia lelaki yang berumur 18 tahun secara perlahan memiliki sifat kewanitaan.
“Ini disebabkan kekerapan mereka terdedah kepada dua bahan tersebut.
“Lelaki yang sihat biasanya memiliki sebanyak 60 juta sperma untuk setiap mililiter.
“Malangnya, belia lelaki yang terdedah kepada dua bahan ini hanya memiliki sebanyak 20 juta sperma setiap mililiter,” katanya.
Selain isu pencemaran bekas minuman, sumber air yang diminum juga berupaya mendedahkan manusia kepada risiko penyakit kanser.

AIR paip yang sudah dirawat selamat diminum begitu sahaja.


“Air yang tidak dirawat mengandungi pelbagai bahan berbahaya seperti nitrat, arsenik, mikroorganisma dan bahan kimia daripada racun perosak.
“Setelah air di empangan memasuki pusat pemprosesan air, kebanyakan bahan itu berjaya dihapuskan.
“Klorin yang digunakan turut membantu menghapuskan bakteria.
“Begitupun, jika air yang telah diklorin itu bertembung dengan sisa organik seperti air kencing, ia akan bertindak balas dengan klorin dan menghasilkan Trihalomethanes (THM) iaitu bahan karsinogenik yang boleh menyebabkan kanser,” kata Pauzi.
Klorin
Jelas Pauzi yang berpengalaman selama 30 tahun dalam bidang Sains Alam Sekitar, kandungan klorin yang terdapat pada sumber air minuman bagaimanapun tidak terlalu banyak.
Sebaliknya, kata beliau, tempat paling berisiko adalah di kolam renang kerana kandungan klorinnya tinggi.
Mengulas lanjut, Pauzi memberitahu, THM wujud di dalam kolam renang jika terdapat ramai individu yang mandi di situ.
Jika salah seorang daripada mereka membuang air kecil atau najis yang merupakan sisa organik, ia akan bertindak balas dengan klorin lantas menghasilkan THM.
“Walaupun kandungan THM itu rendah, jika tersentuh atau diminum, kita boleh mendapat kanser dalam jangka masa panjang,” katanya kepada Jurnal.
Disebabkan itu, kata Pauzi, Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (USEPA) telah mengharamkan rawatan air minuman menggunakan klorin.
Katanya, ada dua cara rawatan air tanpa klorin iaitu dengan menggunakan teknologi osmosis balikan (RO) dan ultra violet.
Ironinya, menurut Pauzi, kebanyakan negara masih mengekalkan rawatan klorin kerana ia murah.
Bercerita lebih lanjut, menurut Pauzi yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Saintis Muslim Malaysia, terdapat banyak punca pencemaran air yang boleh menjejaskan kesihatan manusia.

Petikan Dari KOSMO 6 Aprill 2011


Ummuafiq - patutlah makin ramai anak lelaki yang jadi 'lemah lembut'.

Sunday, November 28, 2010

SEJADAH BERCORAK BABI




SEREMBAN: “Niat anak saudara untuk mengerjakan solat terhenti sejurus mendapati corak pada sejadah itu seolah-olah muka dan kepala babi,” kata seorang suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Mas, 50-an.

Menurutnya, sejadah merah berkenaan dibelinya di sebuah kedai dekat sini yang dijual secara lelong kira-kira enam bulan lalu.

“Saya dan beberapa ahli keluarga membeli-belah di kawasan berkenaan sebelum ternampak jualan lelong di kedai menjual permaidani dan sejadah itu.


“Sejurus memasuki kedai berkenaan, saya teruja apabila mendapati ada sejadah yang dijual dengan harga amat murah iaitu hanya RM10 untuk tiga helai.

“Saya membelinya tanpa melihat lebih teliti setiap sejadah yang diambil,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, minggu lalu anak saudara perempuannya berusia 20-an bertandang ke rumah dan mahu menunaikan solat Asar.

“Saya menyerahkan sejadah itu kepadanya dan terkejut apabila dimaklumkan corak yang tertera menyerupai muka dan kepala babi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (Nesca), Khairuddin Yunus, berkata pihaknya menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dengan setiap jualan murah yang kebiasaannya terdiri daripada barangan lama dan kurang berkualiti.

“Malah, lebih buruk apabila terjadi kes begini yang menyentuh sensitiviti umat Islam,” katanya.

Beliau berkata, isu sensitif seumpama itu sesuatu yang ‘panas’ dan ia perlu dielakkan sebaik mungkin demi kepentingan bersama.

“Ini kerana ia membabitkan kesucian dan maruah masyarakat Islam sama ada corak berkenaan sengaja dilakukan atau sebaliknya,” katanya.

Sehubungan itu Khairuddin, menggesa pihak terbabit menjalankan pemantauan di setiap kedai bagi mengelak perkara sama berulang.

Source: Harian Metro


Di petik dari News @ Feryco

Nov 2010

Wednesday, August 5, 2009

Perkara Tentang H1N1 Yang Perlu Anda Tahu - Tetapi Anda Malu Hendak Bertanya.


1.Apakah yang anda perlu tahu berkaitan dengan jangkitan pernafasan?

Terdapat beberapa jenis jangkitan pernafasan yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat iaitu

* Seasonal Flu / selesema bermusim/ influenza like illness (ILI)
1. Disebabkan oleh pelbagai jenis virus influenza yang telah sedia ada di dalam persekitaran
2. Gejala utama adalah demam dan batuk atau sakit tekak serta hidung berair, hidung tersumbat, sakit otot, sakit kepala, menggigil (chills) dan keletihan. Gejala-gejala ini juga dikenali sebagai gejala influenza-like-illness (ILI)
3. Kebiasaanya jangkitan ini sembuh dengan sendiri dalam tempoh dua minggu dan pesakit akan memperolehi imuniti terhadap jangkitan ini
4. Jangkitan ini adalah lebih berbahaya jika ia berlaku dalam kalangan inidividu yang mempunyai penyakit sampingan yang lain seperti asthma, diabetes, penyakit paru-paru kronik , obesiti dan kegagalan organ.

* Common Cold

1. Disebabkan oleh berbagai jenis virus
2. Gejala utama adalah hidung tersumbat/hidung berair/bersin/sakit tekak/gatal tekak/batuk dan pesakit mungkin mengalami demam
3. Gejala ini lebih ringan daripada seasonal flu dan biasanya pesakit sembuh dalam masa 3-10 hari

* Pharyngitis / radang tekak

1. Kebiasaannya ia disebabkan oleh jangkitan bakteria atau virus di bahagian tekak
2. Gejala utama adalah sakit tekak dan demam
3. Kebiasaannya ia memerlukan rawatan antibiotik dan rawatan simptomatik seperti ubat demam/sakit tekak dan sebagainya

* Pneumonia/ jangkitan paru-paru

1. Kebiasaanya ia disebabkan oleh jangkitan bakteria atau virus di dalam paru-paru
2. Gejala utama adalah demam/batuk berkahak/sukar bernafas
3. Pesakit perlu mendapat rawatan di hospital

2.Apakah itu penyakit Influenza A (H1N1)?

Influenza A (H1N1) adalah sejenis penyakit berjangkit pada saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus influenza A(H1N1).

Virus influenza ini adalah sejenis virus yang baru dan terhasil daripada reassortment (percampuran) genetik virus influenza babi, burung dan manusia.
Lagi...

3.Kenapa virus baru H1N1 ini sering dikaitkan dengan “swine flu” (selesema babi)?

Virus ini dikenali sebagai selesema babi (swine flu) kerana berdasarkan ujian awal makmal ia menunjukkan kebanyakan gen virus ini adalah sama seperti gen virus selesema babi yang berasal dari Amerika Utara.
Walau bagaimanapun kajian terperinci menunjukkan bahawa ia adalah sejenis virus baru yang berbeza dengan virus selesema babi sedia ada.

4.Negara mana yang dilanda penyakit ini?

Maklumat yang ada pada masa ini menunjukkan bahawa kes yang terawal dijangkiti virus ini dilaporkan dari Mexico dan Amerika Syarikat pada April 2009 dan telah terus menular ke negara-negara lain.
Untuk maklumat terkini tentang negara-negara yang dilanda penyakit ini, sila rujuk laman web http://www.who.int/en

5.Apakah gejala virus ini?

Gejala jangkitan virus influenza A(H1N1) adalah serupa dengan gejala selesema bermusim (influenza-like-illness) termasuk demam; batuk, sakit tekak dan gejala lain seperti selesema, sakit badan, sakit kepala, badan berasa sejuk dan lesu. Terdapat juga individu yang dijangkiti virus ini mengalami cirit-birit dan muntah.

6.Bagaimana kita boleh dijangkiti?

Virus ini berjangkit apabila pesakit batuk atau bersin.
Titisan cecair pernafasan yang keluar akan terkena tangan pesakit, permukaan-permukaan (surfaces) atau tersebar ke udara. Seseorang boleh dijangkiti sama ada melalui pernafasan; melalui sentuhan dengan tangan pesakit atau menyentuh permukaan-permukaan yang tercemar dengan titisan cecair pesakit.

7. Bolehkah saya dijangkiti virus H1N1 apabila memakan atau menyediakan babi?

Tidak. Virus H1N1 tidak berjangkit melalui makanan. Individu yang memakan babi atau produk babi tidak boleh dijangkiti oleh virus HIN1. Daging atau produk babi yang dikendalikan dan dimasak dengan betul (160°F/70°C) adalah selamat untuk dimakan.

8. Apa yang perlu saya lakukan jika saya mengesyaki dijangkiti penyakit ini?

Sekiranya anda berasa tidak sihat atau mengalami gejala selesema:

* Anda dinasihatkan untuk berada di rumah dan elakkan berada di tempat kerja, sekolah atau tempat sesak
* Berehat dan meminum banyak air
* Tutup mulut dan hidung bila batuk dan selesema dan, jika menggunakan tisu, buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah. Bersihkan tangan segera dengan sabun dan air atau bersihkan dengan bahan cuci berasaskan alkohol
* Jika anda tidak mempunyai tisu ketika batuk atau bersin, tutup mulut dan hidung dengan dengan lengan dan siku anda
* Gunakan mask bagi mengelakkan titisan cecair tersebar kepada orang lain di sekeliling anda. Pastikan anda memakai mask dengan cara yang betul
* Maklumkan keluarga dan rakan mengenai masalah kesihatan yang anda alami dan elakkan berhubung rapat dengan orang lain
* Seboleh-bolehnya, hubungi pihak kesihatan sebelum ke kemudahan kesihatan bagi membincangkan samada pemeriksaan kesihatan diperlukan
* Jika perlu mendapatkan rawatan lanjut ataupun gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk/sakit tekak yang berterusan hendaklah segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan

9. Berapa lamakah orang yang dijangkiti boleh menyebarkan virus ini?

Selagi mereka mempunyai gejala penyakit ini. Biasanya sehingga 7 hari dari tarikh mula mengalami gejala penyakit ini terutamanya semasa demam

Kanak-kanak boleh menyebarkan penyakit ini bagi tempoh yang lebih lama.

10. Bagaimana anda boleh mengurangkan penularan jangkitan ini?

* Social distancing iaitu menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain serta meminimumkan majlis perjumpaan
* Adab batuk yang baik (cough etiquette)
* Kebersihan tangan dengan mencuci cara betul dan lebih kerap
* Pengudaraan dalam rumah yang baik
* Kes-kes yang berkomplikasi atau yang berisiko tinggi perlu dirawat di hospital. Pendekatan ini akan memastikan impak negatif penularan pandemik dapat diminimakan
* Mereka yang bergejala ringan, serta tiada masalah kesihatan, digalakkan berehat di rumah dan hanya perlu ke klinik atau hospital apabila gejala menjadi lebih berat.
* Kehadiran banyak kes bergejala ringan ke klinik boleh membebankan keupayaan klinik untuk merawat kes-kes yang berisiko yang sebenarnya perlu diberi perhatian utama
* Mereka yang bergejala perlu memakai mask termasuk mereka yang berisiko tinggi seperti pesakit asthma, obesiti, ibu mengandung, diabetes, dan penyakit kronik paru-paru
* Majikan dan institusi perlu memantau kehadiran pekerja mereka termasuk mereka yang tidak hadir bertugas kerana sakit
* Kejadian kes bersimptom influenza perlu dilaporkan segera kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat

11. Adakah terdapat vaksin khusus untuk melindungi diri daripada Influenza A (H1N1)?

Sehingga kini belum ada vaksin khusus untuk melindungi diri daripada Influenza A (H1N1). Walau bagaimanapun usaha-usaha penghasilan vaksin ini sedang jalankan.

Vaksin sedia ada pada masa ini adalah vaksin influenza bermusim yang TIDAK memberi perlindungan daripada jangkitan influenza A(H1N1).

12. Terdapatkah ubat untuk merawat penyakit ini?

Buat masa ini terdapat dua jenis ubat antiviral iaitu oseltamivir (Tamiflu®) dan zanamivir (Relenza®) yang boleh digunakan untuk merawat penyakit ini. Ubat ini hanya diberikan kepada pesakit-pesakit yang dimasukkan ke hospital-hospital tertentu.

13. Bolehkah antiviral ini mencegah jangkitan influenza A(H1N1) ?

Tidak. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membeli ataupun mengambil antiviral ini bagi tujuan untuk mencegah jangkitan. Pengambilan antiviral yang berleluasa boleh mengakibatkan terjadinya resistan terhadap ubat tersebut. Ini akhirnya mengakibatkan ubat tersebut tidak lagi berkesan untuk merawat jangkitan influenza.

14. Bolehkah kita ke luar negara?

Buat masa ini, Kementerian Kesihatan menasihatkan kepada mana-mana individu yang ingin membuat perjalanan ke luar Negara terutamanya negara-negara yang terjejas supaya mengambil langkah-langkah pencegahan yang sesuai semasa berada di sana.
Sekiranya anda jatuh sakit sama ada semasa berada di luar Negara atau setelah kembali ke Malaysia, segera dapatkan rawatan doktor.

15. Kawan saya baru pulang dari salah sebuah Negara yang terjejas, adakah beliau boleh terus hadir ke tempat kerja atau dikenakan tindakan kuarantin. Apakah yang patut saya lakukan sebagai rakan sekerja?

Sebagai seorang warga kerja yang bertanggungjawab, seseorang yang baru pulang dari luar Negara dan sihat tidak dikenakan tindakan kuarantin tetapi beliau perlu memantau kesihatan diri terutamanya gejala demam/batuk/sakit tekak/selesema.

Sekiranya individu tersebut berasa tidak sihat, beliau hendaklah berehat di rumah sekurang-kurangnya dalam tempoh 3-4 hari atau sehingga beliau pulih.

Sementara itu pihak majikan perlu menasihati pekerja mereka yang mempunyai gejala influenza untuk tidak hadir bagi mencegah penularan penyakit ini berlaku di tempat kerja dan menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk.

Pihak majikan juga hendaklah melaporkan sebarang kejadian dalam kalangan pekerja bergejala influenza kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.

Mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994) majikan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya. Dengan itu adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk membenarkan pekerja yang mengalami gejala-gejala influenza-like-illness untuk berehat di rumah sehingga pulih supaya pekerja lain tidak terdedah kepada jangkitan Influenza A(H1N1) ini. Pekerja yang mengalami gejala-gejala influenza- like-illness juga berkewajipan untuk berehat di rumah sehingga pulih supaya pekerja lain tidak terdedah kepada jangkitan Influenza A(H1N1) ini.

16. Anak saya belajar di salah sebuah institusi/ sekolah yang mempunyai kejadian influenza A(H1N1), apakah yang perlu saya lakukan?

Sekiranya institusi/sekolah ditutup untuk tempoh tertentu, anak tuan hendaklah sentiasa berada di rumah dan memantau kesihatan diri. Pada masa yang sama pihak sekolah tidak dibenarkan untuk mengadakan sebarang aktiviti di dalam tempoh penutupan tersebut

Jika anak tuan mempunyai gejala selesema (influenza-like-illness) yang ringan, beliau perlu sentiasa mengamalkan langkah pencegahan di rumah di samping memantau kesihatan diri menggunakan Panduan menilai tahap kesihatan diri di rumah. Sekiranya gejala berterusan dan bertambah teruk, anak tuan perlu mendapatkan rawatan doktor.

Sekiranya institusi/sekolah anak tuan tidak ditutup, beliau dinasihatkan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan tersebut

17. Adakah sekolah yang ditutup perlu dibasmi kuman sebelum dibuka semula?

Tidak. Pada umumnya sekolah akan ditutup dalam tempoh seminggu. Perlu diketahui bahawa virus H1N1 ini hanya dapat bertahan di persekitaran dalam tempoh 48 jam.

18.Apakah yang dimaksudkan dengan penutupan sekolah?

Apabila sesebuah sekolah harian ditutup kerana jangkitan influenza A(H1N1), ia bermakna semua kakitangan termasuk guru dan lain-lain kakitangan sokongan serta pelajar dikehendaki untuk berada di rumah.

Ia bertujuan bagi mencegah penularan jangkitan dan seterusnya memastikan individu yang mengalami gejala-gejala influenza-like-illness untuk berehat di rumah sehingga pulih supaya orang lain tidak terdedah kepada jangkitan Influenza A(H1N1) ini.

19. Kalau seseorang pesakit positif H1N1 dan telah sembuh, adakah beliau boleh hadir ke tempat kerja seperti biasa?

Ya, beliau boleh hadir ke tempat kerja seperti biasa. Secara umumnya seseorang pesakit yang telah mendapat rawatan lengkap, tidak akan menjangkiti orang lain.

20. Bolehkah saya mendapatkan refund ticket sekiranya saya ingin membatalkan perjalanan ke Negara yang terjejas.

Sekiranya anda ingin membatalkan tiket penerbangan sila dapatkan pengesahan kesihatan daripada doktor yang berdekatan. Perlu diingatkan bahawa individu yang mempunyai penyakit sampingan yang lain mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat jangkitan influenza A(H1N1) yang lebih teruk.

21. Apakah yang dimaksudkan dengan jangkitan manusia yang berterusan (sustained human to human transmission)?

Penularan jangkitan influenza A(H1N1) berlaku secara berterusan dalam kalangan manusia dan punca jangkitan tersebut tidak dapat dikenalpasti

22.Apakah yang dimaksudkan dengan Fasa Mitigasi?

Aktiviti mitigasi adalah tindakan membendung wabak pandemik H1N1 di Malaysia dengan memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan seperti mengamalkan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dan mengamalkan adab batuk yang sesuai.

Strategi utama fasa ini adalah untuk mengurangkan kesengsaraan dan kematian akibat penyakit ini, melambatkan jangkitan penyakit dan mengurangkan kesan terhadap gangguan perkhidmatan utama.
Lagi...

23.Berapa lama virus ini boleh hidup di atas permukaan objek? (seperti buku dan tombol pintu)?
Kajian menunjukkan virus influenza boleh bertahan pada permukaan objek dan menjangkiti orang antara tempoh 2 hingga ke 8 jam.

24.Apa yang boleh memusnahkan virus influenza?

Virus influenza boleh dimusnahkan dengan kepanasan [75-100°C]. Selain itu, bahan kimi pemusnah kuman, termasuk klorin, hirogen peroksida, bahan cuci (sabun), iodophors (antiseptik berasaskan iodin), dan alkohol adalah berkesan terhadap virus influenza, jika digunakan dengan sukatan dan tempoh masa yang betul. Sebagai contoh, bahan pengelap atau jel beralkohol boleh digunakan untuk membersihkan tangan. Jel ini perlu digosok pada tangan sehingga ia kering.

25.Apakah permukaan objek yang mudah menjadi punca jangkitan?

Kuman boleh merebak apabila seseorang menyentuh objek yang dijangkiti kuman dan kemudiannya menyentuh mata, hidung atau mulut. Titisan cecair (batuk atau bersin) daripada individu yang dijangkiti tersebar melalui udara. Kuman boleh tersebar bila seseorang menyentuh titisan cecair pernafasan pesakit yang terlekat pada permukaan objek seperti meja, sebagai contoh, dan kemudiannya memegang mata, hidung atau mulut mereka sendiri sebelum membasuh tangan.

26.Adakah pekerja asing yang baru pulang daripada tanah air mereka perlu menjalani saringan atau pemeriksaan kesihatan?

Tidak. Pihak majikan perlu menasihatkan mereka untuk mengamalkan langkah pencegahan dan memaklumkan kepada majikan jika mengalami gejala influenza-like illness.

Bagi maklumat lanjut, sila hubungi Bilik Gerakan CPRC Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03–8881 0200/0300 atau e-mel ke cprc@moh.gov.my

drazwan.blogspot.com
31 Julai 2009
H1N1 dah mula merebak di Pekan, Pahang. Ada sekolah dan kolej yang dah di tutup. Jiran-jiran ada yang sedang berkurantin. Ya ALLAH, lindungilah kami dari bala ini....
Pernah saya terdengar seorang ustaz berkata, penyakit-penyakit yang misteri ini dibawa oleh syaitan. Jadi salah satu cara untuk melindungi diri ialah dengan mengekalkan wuduk! Satu lagi, suruhlah anak-anak yang keluar ke sekolah membaca '3 Qul' sebagai pendinding diri. Itu sajalah
ikhtiar kita selain berdoa dan menjaga kebersihan diri. -Ummuafiq
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...