Sunday, December 19, 2010

RESEPI KHURMAK AYAM


Wah, wah, wah.... Masuk yang ni dah tiga kali berturut-turut buat entri resepi. Adakah ini petanda yang blog ni akan jadi jadi blog masak? Kalau betul, ini sudah kira bagus....

Tapi sebenarnya cuma kebetulan. Manalah ada bakat memasak.... Sikit - sikit tu boleh la....

Ok, kali ni nak tayang resepi Khurmak pulak. Khurmak ayam biasa aje.... Resepi ini pada asalnya resepi ibu mertuaku tapi biasalah... ia telah menjalani proses pengubahsuaian mengikut selera para hakim. Pada yang baru nak belajar tu cubalah resepiku ini.


Bahan - bahan;


4 ketul ayam

1 pek serbuk kurma ADABI

1 inci halia

2 ulas bawang putih

3 ulas bawang merah

2 biji bawang besar - belah 4

2 biji kentang - belah 4

2 biji tomato -belah 2

2 biji cili api - ketuk ( kalau nak rasa 'original', tak perlu masukkan cili api)

2 biji cili masak - belah 2

1 atau 2 biji limau nipis - ambil airnya

1/2 kotak santan ( kotak kecil)

Beberapa helai daun pandan - penting untuk menambah 'ummph'



CARA;


1. Tumbuk bawang merah, bawang putih, halia.

2. Tumis bahan - bahan di atas bersama cili api hingga wangi

3. Masukkan pes kurma yang telah dibancuh dengan air, masak hingga pecah minyak.

4. Tambah sedikit air.

5. Masukkan kentang yang telah dibelah 4. Pastikan air tadi menutupi kentang. Masak dengan api sederhana hingga kentang menjadi hampir empuk.

6. Masukkan ayam dan bawang besar. Kacau rata hingga ayam masak.

7. Masukkan santan dan daun pandan. "Adjust' kepekatan kuah dengan menambah air.

8. Masukkan air limau nipis dan garam secukup rasa.

9. Masukkan cili masak dan tomato gaul sekejap. Dah siap!


Lebih sedap dihidangkan panas-panas bersama nasi putih atau nasi minyak.

Wednesday, December 15, 2010

RESEPI MINI DONUT

Hari ni nak tayang resepi mini donut pulak. Resepi ni dah diubah suai beberapa kali hinggalah ia sesuai dengan selera panel hakim.


BAHAN- BAHAN;


280 gm tepung gandum
3 sudu makan susu tepung fernleaf
1 cawan air suam
1 susu makan gula
2 sudu teh mauripan (pastikan yang baru)
1 1/2 sudu makan butter


CARANYA;

1. Tepung gandum dan susu tepung disatukan.
2. Gula dan mauripan dibancuh dengan air suam. Biarkan sekejap hingga ia berbuih.
3. Tepung dan susu tadi dimasukkan ke dalam mangkuk doh. Masukkan bancuhan mauripan kedalam mangkuk. Gaul sebati dan uli.
4. Masukkan butter. Uli lagi hingga lembut dan licin. Biarkan lebih kurang 4o minit di tempat yang hangat.
(saya letakkan atas 'rice cooker' yang telah digunakan untuk memanaskan nasi. Tutup rapat.)
5.Keluarkan. Canai dan bentukkan dengan acuan. Saya gunakan saiz paling kecil supaya senang dipegang oleh anak-anak.
6. Biar sekejap hingga doh naik semula, barulah digoreng dengan api sederhana panas.
7. Untuk hiasan terpulang masing-masing. Boleh letak coklat atau gula. Kalau untuk Abang cik Ammar, dia siap-siap pesan supaya saya tak lupa tinggalkan yang kosong saja untuknya. Yang ada coklat tak sedap katanya. Ihsan pulak lagi senang, dua-dua dia 'ngap'.



Amboi Ihsan! Takkan nak makan sorang... kot?

Friday, December 10, 2010

RESEPI PAPRIK AYAM

Resepi ni saya reka sendiri, he..he.... Bukan hebatpun... sebab suka sangat makan lauk paprik jadi rasa- rasa macam boleh agak apa dia bubuh dalam paprik tu. Sifu dan anak-anak pun suka. Merekalah panel hakim saya. Jadi kalau nak rasa paprik versi ummuafiq cubalah resepi ni. 'Simple' dan mudah disediakan.

4 - 5 ketul ayam dipotong dadu
4 ulas bawang putih di ketuk atau tumbuk
3 ulas cili api diketuk atau tumbuk ( ini untuk anak2, kalau nak pedas gunalah 4 - 5 biji cili api
atau lebih)
3 sudu hidang (serving spoon) sos tiram adabi
1 sudu hidang sos cili life
sedikit kicap manis kipas udang
sedikit air limau nipis
sayur - sayur yang berwarna- warni. Bunga kobis, lobak merah, putik jagung , kacang panjang, boleh tambah ikut suka. Potonglah ikut suka asal cantik dipandang.
2 cawan air
1 sudu makan tepung gandum atau tepung jagung

CARA:

1. Tumis bawang putih dan cili api yang diketuk.
2. Masukkan ayam dan masak hingga ayam separuh masak.
3. Masukkan sayur-sayur yang keras seperti putik jagung dan lobak merah. Masak sekejap dan gaul rata.
4. Masukkan secawan air, gaul rata kemudian masukkan sos tiram, sos cili dan kicap manis.
5. Biarkan sekejap,masukkan sayur- sayur yang lembut, biar agak masak dan digaul rata.
6. Masukkan air limau nipis dan akhir sekali masuk tepung gandum yang dibancuh dengan secawan air untuk memekatkannya.
Saya lebih suka guna tepung gandum sebab dia tak bergentel.
7. Masukkan garam secukup rasa. Ok, dah siap! Kena makan panas- panas!

Lepas ni rasa macam nak cipta resepi telur bungkus pulak... emmm boleh ke... ?

Sunday, November 28, 2010

SEJADAH BERCORAK BABI




SEREMBAN: “Niat anak saudara untuk mengerjakan solat terhenti sejurus mendapati corak pada sejadah itu seolah-olah muka dan kepala babi,” kata seorang suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Mas, 50-an.

Menurutnya, sejadah merah berkenaan dibelinya di sebuah kedai dekat sini yang dijual secara lelong kira-kira enam bulan lalu.

“Saya dan beberapa ahli keluarga membeli-belah di kawasan berkenaan sebelum ternampak jualan lelong di kedai menjual permaidani dan sejadah itu.


“Sejurus memasuki kedai berkenaan, saya teruja apabila mendapati ada sejadah yang dijual dengan harga amat murah iaitu hanya RM10 untuk tiga helai.

“Saya membelinya tanpa melihat lebih teliti setiap sejadah yang diambil,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, minggu lalu anak saudara perempuannya berusia 20-an bertandang ke rumah dan mahu menunaikan solat Asar.

“Saya menyerahkan sejadah itu kepadanya dan terkejut apabila dimaklumkan corak yang tertera menyerupai muka dan kepala babi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (Nesca), Khairuddin Yunus, berkata pihaknya menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dengan setiap jualan murah yang kebiasaannya terdiri daripada barangan lama dan kurang berkualiti.

“Malah, lebih buruk apabila terjadi kes begini yang menyentuh sensitiviti umat Islam,” katanya.

Beliau berkata, isu sensitif seumpama itu sesuatu yang ‘panas’ dan ia perlu dielakkan sebaik mungkin demi kepentingan bersama.

“Ini kerana ia membabitkan kesucian dan maruah masyarakat Islam sama ada corak berkenaan sengaja dilakukan atau sebaliknya,” katanya.

Sehubungan itu Khairuddin, menggesa pihak terbabit menjalankan pemantauan di setiap kedai bagi mengelak perkara sama berulang.

Source: Harian Metro


Di petik dari News @ Feryco

Nov 2010

Sunday, November 7, 2010

PAKU DI DINDING HATIMU.


Ada seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat
mengawal kemarahannya walaupun ianya hanya satu masalah kecil sahaja.


Pada suatu hari, bapanya telah menghadiahkannya dengan seguni paku.
"Untuk apakah paku-paku ini ayah?" tanya pemuda tersebut.


"Setiap kali kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita
ini, bagi melepaskan kemarahan mu" jawab ayahnya.


Pada hari yang pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut. Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan.


Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku
menembusi tembok batu tersebut. Akhirnya tibalah pada suatu hari,
dimana pemuda tersebut tidak marah, walau sekali pun.


Dia pun memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut dengan gembira.
Bapanya mengucapkan tahniah dan menyuruh dia mencabut kembali paku itu
satu persatu, pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan.
Hari berganti hari, dan akhirnya dia berjaya mencabut kesemua paku-paku
tersebut. Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut
kepada bapanya dengan bangga.


Bapanya lantas memimpin tangannya ke tembok tersebut dan berkata "Kau
telah melakukannya dengan baik, anakku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang
di tembok batu tersebut, tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi
seperti sebelumnya. Bila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika
marah, ianya akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini.


Kau boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya. Tetapi ingatlah,
tak kisah berapa kali kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatam mu,
namun lukanya masih tetap ada. Luka di hati adalah lebih pedih dari luka
fizikal. Sahabat adalah permata yang sukar dicari. Mereka membuatkan kamu ketawa dan menggalakan mu ke arah kejayaan.
Sahabat juga adalah seorang pendengar, berkongsi suka dan duka dan
sentiasa membuka hatinya kepada kita.

Monday, October 25, 2010

KAMI REDHO....


Lebih kurang pukul 1.00 petang, 19 Oktober dapat panggilan talifon dari kampung. 'Bapa dah tak ada lagi', sebak suara kakak kedengaran di talifon. Apa yang boleh saya ucapkan lagi melainkan Inna lillah....


Memang setiap yang hidup akan pergi dari dunia ini cuma kita tidak tahu bila masanya. Kami sekeluarga redho dengan takdir ini. Arwah bapa pun dah lebih kurang 3 bulan terlantar tanpa boleh bercakap atau membuka matanya. Bahkan pagi hari dia pergi, kulit belakangnya sudah mula luka mungkin kerana lama terbaring.


ALLAH memudahkan urusannya....


Semua ahli keluarga tenang saja menghadapinya, begitu juga emak. Cuma bila anak-anak semuanya dah balik, dia nampak sedikit sayu. Mungkin mula terasa sunyi. Sabar lah mak, insyallah kami akan sentiasa bersama.

Tuesday, October 5, 2010

MASIH LAGI KAGUM DENGAN OTAK.


Tahun lepas umur Ammar hampir lima tahun, saya ada buat entri pasal dia yang sibuk nak tahu apa ada dalam kepala kita. Tahun ini Ammar hampir enam tahun dan dia masih sibuk nak tahu pasal otak.


Selalunya kalau nak tidur, anak-anak akan minta dibacakan buku cerita.....cerita fantasi, cerita binatang, cerita perang ... tapi yang sorang ni pelik....nak cerita pasal otak. Saya pulak tak pandai sengaja mereka cerita sekadar mahu membuatkan anak-anak diam bila mereka bertanya. 'So' dengan rajinnyer... terpaksa 'search' maklumat pasal otak kat internet. Lepas tu kena fikirkan cara nak terangkan pada dia dalam bahasa yang mudah. Eh... dah macam buat 'research' la pulak... he..he.


Kadang-kadang, bangun saja dari tidur terus tanya 'ibu, macamana otak boleh buat tangan kita bergerak-gerak?'. Saya pun tersentak juga, maklumlah pagi-pagi ni otak belum 'fully recharge'.
Terpaksalah, cerita juga sampai dia puas hati.


Apa yang selalu saya ingatkan pada dia, otak kita ini ketua pada seluruh badan kita. Otak ni hebat sebab ALLah yang cipta. Jadi ALLAH tentu jauh lebih hebat.
Ammar dengan adik kesayangan Ihsan. Gambar atas pula ketika sedang mencuba peralatan di Pusat Sains Negara.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...