Sunday, February 28, 2010

Haiwan darat terbesar di Asia.

Sempena meraikan Along yang akan menghadapi UPSR tahun ini, maka saya dan sifu telah mengistiharkan permainan video PS2 adalah dilarang sehinggalah selepas habis peperiksaan.

Alhamdulillah, anak-anak patuh walaupun dalam 'mujahadah'.

Sekarang mereka lebih fokus pada pelajaran dan hal-hal sekolah dan bukan lagi berfikir-fikir 'game' apa nak main hujung minggu ni....Tapi ada harganya!

Setiap hujung minggu mereka akan mencadangkan macam-macam aktiviti untuk mengisi cuti hujung minggu mereka.
Minggu lepas kami ke Kuala Gandah,Lanchang. Ia adalah tempat pemuliharaan gajah di Pahang. Ini kali kedua kami ke sana. Memenuhi permintaan anak-anak kerana rindu dengan gajah-gajah yang dah mereka kenal.
Dua anak gajah betina yang paling anak-anak saya ingat ialah Siput dan Selendang.
Gambar paling atas ialah gambar Along dan Angah sedang menjamu Siput dan Selendang dengan kacang pada lawatan kami yang pertama. Di tengah pula Angah bersama gajah dewasa.

Perjalanan ke Kuala Gandah cuma lebih kurang 30 km dari rumah saya.
Kalau dulu kami pergi pagi, kali ini kami pergi pada waktu petang pula.

Sampai saja di sana, aktiviti mandi bersama gajah baru saja selesai. Terlepas lagi kami nak menyaksikan aktiviti ini. Aktiviti ini di buat mengikut bilangan pengunjung yang ada terutamanya yang datang dari luar negara. Bila dah ramai yang berkumpul pihak pengurusan takkan menunggu hingga waktu yang ditetapkan.

Lebih mengecewakan anak-anak bila mendapat tahu Siput dan Selendang dah direhatkan dan dimasukkan ke dalam kandang tertutup. Padahal Along dan Angah dah membawa bekalan kacang untuk diberikan pada anak-anak gajah itu.

Yang ada didepan kami petang itu adalah enam ekor gajah betina yang dewasa sedang makan setelah mandi-manda dengan pengunjung.
Kami cuma mengambil gambar bersama gajah dan kacang-kacang yang di bawa menjadi rezeki si gajah besar.
Saya mengambil peluang menyentuh makhluk Allah yang terkenal cerdiknya ini.
Memang , kita akan terasa seperti berhubung dengannya melalui sentuhan itu.
Tak faham...? Kenalah cuba sendiri. Dia akan memberi 'respon' pada sentuhan kita.... Anak-anak jangan nak kata, bermanja-manja lagi dengan anak-anak gajah ini. Tapi kalau dengan gajah dewasa, jangan cari pasal! Itulah pesan penjaga-penjaga gajah di sana.
Dalam seronok kena juga berhati-hati. Maklumlah gajah ini tetap haiwan liar yang tak boleh dijangka.
Jom! Cuti-cuti Malaysia....

Monday, February 22, 2010

Abang cik dah sekolah!


Dah sebulan lebih Abang cik sekolah. Alhamdulillah , nampaknya hingga sekarang dia masih bersemangat bersekolah. Ihsan pula terpaksa bangun awal kerana mengikut saya menghantar Ammar ke sekolah. Bukannya jauh sangat. Depan rumah je, tapi Ammar tetap mahu dihantar pergi dan diambil balik. Mula-mula Ihsan meragam juga kerana jadual tidurnya terganggu. Tapi sekarang ni dia pun dah pandai bangun pagi.

Tuesday, December 15, 2009

YES! YES! YES!



Setelah hampir dua bulan menunggu talian internet disambung akhirnya dapat kembali menatap blog ni..... Alhamdulillah....rindunye dengan blog kekawan.

Monday, October 19, 2009

KALI INI KAMI DIUJI!

Bandar Bentong, Pahang.


10 Oktober, jam 11.3o pagi kami baru sampai di Felda Mempaga. Pertama kali dalam hidup masuk felda....anak-anak pun begitu teruja....nak mencari dan memilih rumah baru. Malangnya, satu rumah untuk disewa pun kami tak jumpa.

Cuaca makin panas, jam menunjukkan tepat pukul 12 tengahari. Semua yang ada dalam kereta dah gelisah. Panas, lapar, dahaga....

Akhirnya, kami ambil keputusan untuk mencari hotel dulu. Berehat, solat dan selepas itu mencari lagi di sekitar Bentong pula.

Dah hampir pukul 6.00 petang. Sifu nampaknya dah terlalu letih memandu dan keluar masuk kereta bertanya tentang rumah dan mencari sekolah untuk anak-anak. Ini pertama kali kami menghadapi masalah sebegini. Selalunya sebelum petang kami dah ada beberapa nombor talifon untuk dihubungi. Program cari rumah dah jadi biasa pada keluarga saya. Maklumlah, masuk yang ini, dah lima kali kami pindah randah.

Kami balik ke hotel petang itu dengan perasaan sedikit hampa. Satu hari dah berlalu....

11 Oktober. Kami mula awal pagi... mengharap agar segala urusan dapat diselesaikan sebelum check out dari hotel pukul 12.00 tengahari.

Masih mengharap agar dapat rumah di kawasan Felda Mempaga.... Dekat sekolah, tadika dan dekat dengan tapak projek Sifu. Kami ke sana semula... berpusing-pusing disekitar kawasan perumahan mencari perkataan rumah untuk disewa.... Hampa.

Kami perlu balik ke Pekan hari ini, esok anak-anak sekolah.

17 Oktober. Kami turun lagi ke Bentong mencari .... Habis semua orang kami tanya. Rumah kedai pun kami tanya. Tak ada yang kosong! Felda Mempaga sedang membangun. Penduduknya makin ramai, rumah makin sedikit jadinya....

Sifu dan saya buntu...

18 Oktober. Kami mencari lagi... untuk ikhtiar yang terakhir kami menuju ke Karak. Kalau dikira jaraknya, Karak lebih dekat dengan Felda Mempaga dari Bentong. Berpusing-pusing dan bertanya....

Akhirnya, setelah dua kali turun ke Bentong, nombor pertama yang kami dapat untuk dihubungi rupa-rupanya ada di Karak. Dapat rumah... tapi masih mencari jiran seagama di sekitar kawasan perumahan itu. Rumah dah ada... tapi tak ada tadika Islam untuk Ammar tahun hadapan.
Rumah yang bakal kami huni di Karak.

Ya ALLAH...janganlah jadikan aku hamba yang mudah berputus asa dengan rahmatMu....

Yakinkan aku bahawa ENGKAU masih mendengar doa hambaMU ini...

Wednesday, October 14, 2009

KEBETULAN YANG MENGINSAFKAN.


WAKTU GEMPA DI PADANG MENYAMAI 3 NAS AL-QURAN

OLEH IBRAHIM ABDULLAH
(Petikan dari Berita Harian Sabtu 10 Oktober 2009)

Kejadian suatu kebetulan yang perlu direnungi, insafkan umat ingkar suruhan Ilahi

SEGALA kejadian di muka bumi ini adalah ketetapan Allah SWT. Demikian pula dengan musibah gempa yang berlaku di Padang, Sumatera. Kebetulan juga waktu terjadi musibah itu dengan kaitan surah dan ayat yang ada hubungannya dalam kitab suci al-Quran al Karim.

Cuba perhatikan gempa di Padang pada jam 17.16 petang, kemudian susulan gempa pada jam 17.58 petang dan esoknya terjadi gempa di Jambi pada jam 08.52 (waktu antarabangsa).

Jam 17.16 (iaitu surah ke-17, al-Israk, ayat 16) bermaksud:
" Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya."

Jam 17.58 (surah ke-17, al-Israk, ayat 58) bermaksud:
" Tidak ada suatu negeri pun (yang derhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu sudah tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz)."

Jam 08.52 (surah ke-8, al-Anfal, ayat 52) bermaksud:
" (keadaan mereka) seperti Firaun dan pengikutnya serta orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat Allah, maka Allah menyeksa mereka disebabkan dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras seksaan-Nya."

Tiga ayat Allah SWT di atas, yang ditunjukkan tepat dalam waktu kejadian tiga gempa di Sumatera. Mengenai azab Allah kehancuran dan kematian serta kaitannya dengan hidup mewah dan derhaka.

Dengan pelbagai kebetulan yang Allah SWT sampaikan ketika musibah itu, Allah jelas hendak mengingatkan kita. Apakah ia sekadar kebetulan di sebalik rahsia kejadian tanpa mengandungi pengajaran? Apakah mesej Allah itu akan mengubah kita agar lebih berhati-hati dan taat perintah dan menjauhi larangan-Nya? Mungkin kita tidak peduli atau mentertawakan seperti kaum Musyrikin Quraisy mempersendakan risalah disampaikan kepada Rasulullah SAW? Semua terpulang kepada kita.

Manusia bukan makhluk tunggal di muka bumi ini. Manusia bersama makhluk lain yang juga memiliki hak sama untuk dapat hidup mengikut sunnatullah yang ditetapkan Allah SWT. Walaupun alam dengan isinya mungkin ditundukkan oleh manusia dengan ilmu pengetahuan, tidak bererti alam harus tunduk kepada manusia.

Alam tetap patuh dan pasrah (Islam) kepada Allah. Alam dengan segala isinya memiliki kehidupan sendiri. Harus disedari, kita dan alam memiliki hak yang sama untuk mengabdikan kepada Allah, tentu saja dengan cara sendiri. Sebenarnya sesama makhluk Allah, kita harus dapat harmonikan kehidupan dengan alam. Jika tidak, berlaku ketegangan, pertembungan dan saling menghancurkan.

Antara yang perlu kita perhatikan disebut al-Quran tasbih bumi iaitu bumi juga makhluk Allah yang sentiasa bertasbih kepada Allah. Orang bertasbih menyucikan Allah daripada segala perbuatan yang tidak sewajarnya.

Kata Subhanallah yang selalu kita lafazkan selepas solat bererti Maha Suci Allah dengan segala sifat dan perbuatan-Nya. Ilmuwan Muslim, Zaghlul an-Najjar, dalam bukunya Shuarun min Tasbih al-Kainaat Lillah (Ketika Alam Bertasbih) menyatakan: Al-Quran menegaskan langit dan bumi dapat berbicara, menangis dan berasa sakit serta pedih.

Riwayat daripada Nabi SAW yang menjelaskan makna Surah al-Zalzalah, ayat 3, yang mengatakan: Pada hari itu bumi menceritakan. Baginda bertanya: Tahukah kamu beritanya? Mereka menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih tahu.' Baginda berkata: Sesungguhnya berita ia (bumi) bersaksi atas hamba atau umat yang berada di atasnya. Ia (bumi) berkata, melakukan ini pada hari ini, begini dan begitu. (Riwayat at-Tirmizi).

Amat mengelirukan jika kita menganggap bumi sebagai benda mati yang tidak memberi reaksi terhadap apa yang dilakukan manusia di muka bumi ini. Jelas bahawa bumi tempat kita berpijak selalu bertasbih dan berdialog kepada Allah SWT.

Bumi menyucikan Allah dan memuji-Nya dengan cara yang tidak kita ketahui. Apakah akan terjadi jika manusia yang hidup di muka bumi ini tidak bertasbih kepada Allah. Betapa seksanya bumi menampung manusia kufur, berdosa, bermaksiat dan melupakan Allah. Bumi berasa berat dan menanggung beban yang tidak tertahan kerana dipijak manusia yang derhaka dan berdosa.

Gempa adalah reaksi bumi. Kita memerlukan pendekatan teologi dan spritual. Gempa membuat manusia sedar bahawa selain manusia, langit dan bumi berserta apa yang ada di dalamnya juga makhluk Allah yang memiliki hukum dan kehidupannya sendiri. Bumi agak marah kepada manusia yang tidak pernah tersedar, kufur, dan ingkar kepada Allah.

Firman Allah bermaksud:
"Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan (yang dahsyat), dan bumi telah mengeluarkan beban (yang dikandungnya), dan manusia bertanya:Mengapa bumi (menjadi begini?)" (Surah al-Zalzalah : 1-3)

Tuesday, September 29, 2009

GAMBAR-GAMBAR HARI RAYA 2009


Macam biasa saya dan famili akan beraya di Teluk Intan, Perak. Kalau tak kat rumah mak, rumah mak wan (mak mertuaku ). Setiap tahun giliran diselang-selikan kecuali kalau ada sebab -sebab tertentu. Oleh kerana saya dan sifu sekampung, cuma rumah kami dijarakkan lebih kurang 6 km, kami asyik berulang alik sepanjang beraya hinggalah balik semula ke Pahang.

Tahun ni giliran beraya di rumah mak. Sifu awal-awal dah minta saya sediakan nasi impit, kuah kacang, rendang, sayur lodeh dan sambal ikan bilis. Memang sedap......


Along, Angah Dan Ammar berposing dengan sepupu-sepupunya Udin dan Hafiz (anak-anak Atun ).


Tiga mak dara mak; dari kiri Atun (my twin sister), Rokiahanim (kakak yang tua) dan saya ler...

Sempat bergambar dengan Mak Wan sebelum bertolak pulang ke Pekan, Pahang. Tahun ni tak sempat lagi nak bergambar sekeluarga pada Hari Raya. Emmm....frustnye......

Sunday, September 13, 2009

SELAMAT BERHARI RAYA SEMUA!


UNTUK SEMUA RAKAN-RAKAN BLOGGER DAN KEPADA SESIAPA YANG DATANG SINGGAH DI BLOG INI, SAYA UCAPKAN SELAMAT BERHARI RAYA BERSAMA KELUARGA...SAYA MINTA MAAF ZAHIR DAN BATIN JIKA TERDAPAT SEBARANG KESALAHAN KATA-KATA SEPANJANG SAYA BERBLOG....

SEMOGA DIREZEKIKAN DENGAN RAMADHAN AKAN DATANG......

MAAF ZAHIR DAN BATIN DARI KAMI SEKELUARGA.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...