Sunday, June 7, 2009

Pilu hati seorang ibu


Lebih kurang pukul 4 pagi , pada hari Isnin, tanggal 1 Jun. Saya dikejutkan dengan suara -suara kesibukan Abang Suri, Kak Lin, Kak Anjang, Sifu dan Mak wan bersiap-siap. Menurut sifu, Yop makin lemah dan mereka mahu segera ke hospital. Oleh kerana masih terlalu awal, Mak Wan dinasihatkan supaya tidak ikut serta. Mak Wan akur, walaupun di matanya tergambar keinginan yang kuat untuk pergi bersama. Sifu tetap ingin pergi walaupun baru beberapa jam kami sampai dari Pahang. Tak lama selepas mereka bertolak, saya lihat Mak Wan menyarung telekungnya, pasti untuk mendoakan anak tersayang..

Dalam pukul 8.30 pagi, Sifu dan Ayong memberi salam sambil menjinjing bungkusan sarapan. Sebelum itu seorang jiran telah pun menghantar dua mangkuk besar nasi goreng yang dimasak khusus untuk kami yang tinggal dirumah. Alhamdulillah, jiran-jiran di sini sangat perihatin dengan kebajikan keluarga Yop.

Selesai bersarapan, panggilan telefon diterima meminta Sifu dan Mak Wan segera ke Hospital. Beberapa minit kemudian satu lagi panggilan dari Yong (isteri Yop) meminta agar semua anak-anaknya segera ke hospital. Saya ditinggalkan untuk menjaga anak-anak dan anak- anak saudara yang masih kecil. Bagai sudah menjangka apa yang sedang berlaku di hospital, saya cuma dapat berdoa agar segala-galanya dipermudahkan untuk Yop.

Tepat pukul 10 pagi, saya dikhabarkan oleh anak-anak yang menjawab panggilan telefon bahawa Pak Yop dah 'pergi'. Innalillah.....


Sifu menelefon meminta agar saya bersiap sedia di rumah untuk menerima jenazah nanti. Ya Allah, apa yang perlu saya buat? Memang ini adalah pengalaman pertama saya.
Bagai mendengar kata hati saya, tak lama kemudian ada orang memberi salam. Seorang jiran (wanita) datang untuk membantu apa-apa yang patut dibuat di rumah (lama selepas itu baru saya tau dia bekas seorang doktor). Datang seorang lagi jiran (lelaki) bertanya apa yang patut dibantu. Mereka berbincang dan saya lihat masing-masing sibuk menelefon, seperti pegawai-pegawai penyiasat meminta bantuan.
Memang benar, kurang tiga jam segalanya telah disiapkan. Yong memberitahu mereka adalah jemaah surau di mana Yong menjadi AJK nya. Jemaah mereka sangat perihatin dengan kebajikan ahli dan sangat aktif dengan aktiviti-aktiviti untuk jemaah. Itulah berkat berjemaah! Jenazah sempat dikebumikan sebelum a'sar.

Mak Wan, Yong dan anak-anak arwah Yop sampai dari hospital. Suasana senyap, tak ada perkataan yang terkeluar. Masing-masing dah tau apa yang bersarang di hati masing-masing.Wajah Yong yang sayu dan keletihan, wajah Mak Wan yang sebak kemerahan masing-masing punya cerita sendiri. Tapi saya pasti, antara hati-hati yang sebak di situ, hati Mak Wanlah yang paling pilu, saya rasa. Diuji dengan kehilangan anak sulung, anak yang pastinya paling lama bersama-samanya mengharungi suka duka hidup. Pemergian Di (anak bongsunya) masih lagi di tangisi.

Arwah Di pergi meninggalkan kami semua selepas sepuluh hari menyambut aidil fitri tahun lepas. Setiap kali bertemu dengan Mak Wan, arwah Di masih disebut-sebut. Itulah kasih ibu, walau sudah hilang dimata di hati tak pernah lupa..

Menurut sifu, sepanjang arwah Yop sedang nazak, mereka tak putus-putus membacakan yassin dan membisikkan kalimah syahadah di telinga arwah (dari lebih kurang pukul 5 pagi hinggalah arwah 'pergi' pada kira-kira pukul 9.55). Itulah juga pesan doktor yang bertugas ketika itu yang juga banyak memberi kerjasama pada ahli keluarga untuk sentiasa berada di sisi arwah. Saya fikir arwah sungguh bertuah kerana dibantu ketika mengharungi detik-detik paling genting dalam hidupnya.

Bagaimana pula dengan saya nanti... Adakah suami, anak-anak atau saudara mara yang akan bersama membantu ketika detik genting saya tiba pula. Hanya Allah saja yang mengetahui... Segala iktibar sepanjang bermusafir kali ini, saya harap dapat kekal lama di hati dan minda. Kematian sesungguhnya dapat mendekatkan diri dan hati kita pada Pencipta. Menyedarkan kita betapa sementaranya kehidupan di dunia ini.....

Al fatihah untuk arwah Yop.

4 comments:

  1. Memang pilu kehilangan orang tersayang. Akak rasa pernah jumpa dengan Yong dan Makwan. Kita ada bergambar berempat bersama mereka. Betulkah?

    Akak sendiri masih lagi menangisi pemergian kakak tersayang pada hari raya cina yang baru lalu...

    ReplyDelete
  2. Saya pun tak ingat dah, mungkin juga. Kakak k.zu meninggal sakit apa?

    ReplyDelete
  3. Sakit barah di pangkal leher. Dua tahun dia menderita sakit... akhirnya lumpuh separuh badan dan beberapa hari kemudian dia pun prgi meninggalkan kami

    ReplyDelete
  4. Innalillah...sekarang ni orang sakit barah dah macam selesema . Dah biasa sangat..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...