
Setiap kali balik dari kelas Taekwondo, Along dan Angah dengan bangganya akan menggayakan aksi baru yang dipelajari mereka hari tu khusus untuk tontonan ibu. Saya pun seronok juga melihat mereka begitu bersemangat dengan aktiviti baru ini. Terimbau difikiran....
Teringat semasa kecil-kecil dulu arwah opah sering bercerita mengenai moyangnya yang hebat melawan lanun dan penjahat. Kata opah, orang memanggilnya dengan gelaran Panglima Hitam. Walaupun kami yang mendengar ketawa, opah tetap bersungguh-sungguh bercerita. Terdetik di hati saya, betulke cerita opah ni...
Bila tiba giliran bapa bercerita, pasti perihal betapa hebatnya pencak Silat Cekak yang pernah dipelajarinya semasa muda. Bapa akan menunjukkan langkah-langkah silat persis seorang guru silat sedang mengajar anak muridnya. Kami yang mendengar, tetap terpaku walaupun sebenarnya tak berapa faham apa yang ditunjukkan. Mungkin dua orang abang yang sudah dewasa ketika itu lebih faham cerita bapa. Mak juga tak mahu ketinggalan bercerita tentang ketokohan ayahnya dalam ilmu mempertahankan diri.
Abang-abang saya pula kalau berkumpul, seronok sungguh berbincang tentang jurus-jurus silat Nasrul Haq bersama teman-teman mereka. Abang yang bongsu pula terlibat dengan aktiviti Silat Gayong di sekolah, tapi tak lama cuma setahun lepas itu tidak ada lagi.
Itu dulu... puluhan tahun yang lalu. Sekarang keadaannya sungguh berbeza. Sejak saya berpindah-randah dari KL ke Kuala Kangsar, lepas itu ke Kuala Trengganu kemudian sekarang di Pekan , Pahang rasanya belum pernah terserempak dengan aktiviti silat terutama di kalangan anak-anak yang bersekolah. Mungkin juga ada tapi dibuat di tempat tertutup hingga tak terkesan oleh masyarakat sekeliling.

Teringin juga melihat anak-anak segak mengenakan pakaian pendekar melayu dan melangkah pencak silat melayu. Bukannya untuk bertarung, tapi sekadar menyambung seni warisan bangsa sendiri dan juga membantu anak-anak lebih berkeyakinan dan berdisiplin.
Yang paling penting, ia mestilah bersih dari ajaran-ajaran khurafat.
Em... memang susah mencari kelas seni silat untuk anak-anak...
Oleh kerana memang dah lama tercari-cari, bila ada saja kelas taekwondo di sekolah anak-anak, kami terus daftarkan. Terfikir juga saya, sepatutnya anak-anak saya mempelajari seni pencak silat melayu bukannya taekwondo atau apa saja yang diimpot. Tapi apa boleh buat, itulah saja yang ada di depan mata.
Kan bagus kalau seni silat dijadikan aktiviti wajib di sekolah-sekolah. Barulah tak hilang warisan melayu di dunia.
Saya bukanlah seorang aktivis budaya cuma fikir-fikir seorang ibu di ruang dapurnya...