Saturday, June 20, 2009

Dengarlah anak-anakku.....


Awal sebelum subuh, atuk tergesa-gesa bersiap. Berpakaian usang , bertopi dan menyangkut tuala di lehernya. Opah pula setia menyiapkan bekalan untuk atuk. Seperti biasa bekal kegemaran atuk, pulut dan ikan masin serta air teh kosong. Masa itu ibu masih kecil..


Atuk mengejar masa agar sempat menunaikan solat subuh di tempat kerjanya. Masa untuk atuk melapor diri di tempat kerjanya sungguh awal. Seakan-akan tiada keizinan dari majikan untuk pekerja-pekerjanya menunaikan solat terlebih dahulu. Kadang-kadang terdengar atuk merungut, kesal dengan keadaan ini. Tapi di situlah punca rezekinya, rezeki kami sekeluarga.
Bila waktu petang, atuk akan pulang dengan wajah lesu keletihan dan baju serta badan yang busuk. Cuma anak-anaknya dah biasa dengan keadaan itu. Mengucup pipi atuk telah menjadi rutin ibu setiap kali atuk pulang dari kerja. Ibu tidak rasa terganggu dengan keadaan atuk masa itu.


Ada kalanya bila atuk pulang dari bekerja, dia akan bergegas ke bilik air. Membersihkan diri termasuk menyamak seluruh badannya. Bila ibu bertanya, kata atuk tadi semasa bekerja dia terpaksa mengangkat bangkai anjing. Supaya lebih yakin dia menyucikan seluruh badannya.
Itulah antara pengalaman atuk dulu. Kini atuk dah bersara. Tapi hasil dari mata pencariannya itulah yang membesarkan, menyekolahkan ibu dan lima lagi anak-anaknya yang lain.
Sungguh besar jasa atuk sebenarnya, pada manusia dan seluruh alam ini. Walau mungkin sesetengah orang akan memandang jijik pada atuk tapi mereka lupa, mereka sebenarnya sangat bergantung pada orang-orang seperti atuk.
Tak dapat ibu bayangkan bagaimana keadaan dunia ini kalau tiada orang yang memiliki hati-hati mulia seperti atuk. Tentu spesis manusia takkan dapat bertahan lama di muka bumi ini.
Sempena dunia sedang meraikan insan-insan bergelar bapa, ibu punya seorang bapa untuk dikenang jasanya bukan sahaja sebagai seorang bapa tapi sebagai seorang manusia mulia yang sanggup mengotorkan dirinya semata-mata untuk keselesaan manusia lain......


4 comments:

  1. Beruntunglah mereka yang masih memiliki kedua-dua insan tersayang. Berbaktilah kepada mereka selagi hayat dikandung badan. Jangan ada penyesalan kelak takdir memanggil pulang insan tersayang. Gembirakanlah hati mereka selagi mampu.

    ReplyDelete
  2. Salam..

    Sangat membanggakan...Ummuafif dah lama terfikir.. gaji yang bapa ummuafiq dapat lebih bernilai sebenarnya dari gaji yang ummuafif dapat...
    Kadang-kadang Ummuafif melihat makcik sapu sampah kat tepi jalan tu lebih mulia dari diri sendiri..

    ReplyDelete
  3. Kadang-kadang manusia yang rendah tarafnya di mata manusia, tinggi tempatnya di sisi Allah..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...